Nak berbuka dengan hidangan tradisional tak perlu balik kampung, jom serbu 9 bufet Ramadan sekitar Lembah Klang - Selera | mStar

Nak berbuka dengan hidangan tradisional tak perlu balik kampung, jom serbu 9 bufet Ramadan sekitar Lembah Klang

Air tangan Chef Zam (kiri) dan Chef Sabri boleh dinikmati menerusi bufet Ramadan ‘Special Dulang’ di Neujina Events, Shah Alam.

DIAM tak diam, sudah hampir seminggu umat Islam menjalani ibadah berpuasa.

Selain meluangkan waktu berbuka puasa bersama keluarga tersayang di rumah, apa salahnya jika anda beralih angin dan membawa mereka menikmati juadah bufet Ramadan di hotel-hotel pula.

Ini dikatakan berbagi rezeki bersama keluarga tercinta, teman sekerja atau kenalan lama sambil merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu bersesak di jalan raya, guna je pengangkutan awam untuk ke 5 tempat berbuka puasa

Jom kita tengok senarai bufet Ramadan menyelerakan yang ditawarkan pada harga berpatutan di sekitar Lembah Klang ini.

1. ‘Santapan 29 Malam’ di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya

Masa yang ditunggu-tunggu kini tiba, Tropicana Golf & Country Resort (TGCR) kembali menghidangkan sajian tradisional, tempatan dan antarabangsa sempena ketibaan bulan Ramadan.

Terdapat lebih 300 menu daripada air tangan chef profesional yang menanti anda di bufet Ramadan ‘Santapan 29 Malam’ TGCR.

Antaranya Ikan Patin Masak Asam Tempoyak Timun Tua, Ikan Mayong Asam Rebus Perantaraan Utara, Sotong Goreng Bersalut Sambal Hijau, Kepah Masam Manis, Nasi Briyani Kukus Kabuli Warisan Johor dan Kambing Briyani Daun Selasih.

Santapan 29 Malam menghidangkan aneka sajian tradisional, tempatan dan antarabangsa sempena Ramadan ini.

Bukan itu sahaja, sambil anda menikmati hidangan yang sangat menyelerakan di TGCR, anda akan didendangkan dengan alunan ghazal tradisional kontemporari sebagai penghidup suasana.

Baucar Ramadan ‘Santapan 29 Malam’ ini ditawarkan pada harga RM99 (dewasa) dan RM50 (kanak-kanak) bermula 6 Mei hingga 4 Jun ini.

Selain itu, TGCR juga menawarkan pakej golf Ramadan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat sepanjang bulan puasa pada harga RM250 seorang (18 lubang) atau RM150 seorang (sembilan lubang).

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, anda boleh hubungi TGCR di talian 03-7804 8888 (sambungan 306/325) atau 03-7804 1919.

2. ‘Warisan Delights’ di Hotel Maya, Kuala Lumpur

Bertemakan ‘Warisan Delights’, Hotel Maya bertaraf lima bintang yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur ini menyediakan bufet Ramadan masakan ala kampung istimewa buat pelanggannya.

Tidak terhad dengan itu, juadah tempatan dan antarabangsa turut dihidangkan mengikut cita rasa anda.

Jika anda ke Hotel Maya, jangan lupa untuk cuba Kambing Golek, Ayam Masak Keremek, Ketam Masak Kelio Bernenas, Kepah Masak Goreng Jintan, Labu Masak Lemak Ikan Masin, Ikan Tenggiri Gulai Taucu, Kari Kepala Ikan dan Kambing Masak Kuzi yang menjadi signatur chef di sini.

Pilih sahaja ulam-ulaman kampung kegemaran anda di Hotel Maya.

Segala juadah yang disajikan mengekalkan konsep ‘warisan’ bagi memastikan rasa setiap hidangan tidak mengubah keaslian resipi aslinya.

Berita baik untuk pemegang kad debit atau kredit Maybank, HSBC, Public Bank atau BSN kerana anda bakal menikmati diskaun sebanyak 20 peratus daripada harga bufet yang ditawarkan.

Bufet Ramadan ini ditawarkan pada harga RM148 (dewasa) dan RM74 (kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun); dan sebarang tempahan boleh dibuat melalui talian 03-2333 1358.

3. 'Pasar Malam Istimewa' di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur

Kemeriahan Ramadan turut diserikan dengan seleksi bufet bertemakan 'Pasar Malam Istimewa' di Hotel DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur.

Menawarkan lebih 100 juadah yang cukup menyelerakan, ia pasti membuatkan anda rambang mata dan pening untuk memilih.

Selain hidangan berasaskan nasi, sate, dan sebagainya, seleksi kuih tradisional Melayu yang dihidangkan cukup mencuri tumpuan.

Diadun dengan sempurna, setiap gigitan seolah-olah membawa anda menerjah ke memori masa silam, sewaktu berbuka di kampung halaman.

Hidangan Labu Kuning Masak Putih yang mengembalikan nostalgia berbuka di kampung.

Selain itu, penulis juga cukup teruja saat menghirup kuah labu kuning masak putih.

Enak dinikmati bersama nasi panas, ia menjadi pembangkit selera sebelum meneruskan penerokaan ke juadah-juadah seterusnya.

Antara menu lain termasuklah apam balik, somtam, rendang paha kambing, bayan tumis ikan bilis, agar-agar kelapa, agar-agar cendol dan banyak lagi.

Untuk menikmati hidangan 1001 rasa ini, anda hanya perlu membayar RM148 (dewasa) dan RM74 (kanak-kanak) serta sebarang tempahan atau mahu mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh hubungi talian 03-21727272.

4. ‘Special Dulang’ di Neujina Events, Shah Alam

Jika anda teringin merasai air tangan chef selebriti ketika berbuka puasa pula, Neujina Events adalah jawapannya.

Buat julung kalinya, Master Chef Sabri Hassan dan Chef Selebriti Zam berkolaborasi dengan Neujina Events untuk menganjurkan Iftar Amal Buffet ‘Special Dulang’ yang berkonsepkan masakan dari Timur Tengah dan asli Pantai Timur.

Chef Sabri akan mengetengahkan konsep dua hari masakan dari Timur Tengah pada 24 dan 25 Mei, manakala Chef Zam pula mempertaruhkan masakan asli Pantai Timur selama dua hari iaitu pada 31 Mei dan 1 Jun 2019.

Antara menu sentuhan Chef Sabri yang menanti anda di Neujina Events yang terletak di Seksyen 26 Shah Alam ini adalah Kambing Kashmiri, Ayam Panggang Morocco, Nasi Mandi, Samosa Zam Zam Ala Kazam , Murtabak Turkey, Kambing Kuzi, Macaroni Masak Arab.

Di mana lagi nak merasa air tangan chef selebriti kalau bukan di Neujina Events?

Selain itu, air tangan signatur Chef Zam seperti Nasi Dagang, Kerutuk Ayam, Ketupat Sotong, Gulai Ikan Tongkol, Pulut Lepe, Akok, Nasi Kuning, Sate Ikan, Mee Rebus, Rendang Dendeng pula tidak kurang hebatnya.

Haa… bukan setakat itu sahaja! Sambil berbuka puasa, anda boleh merebut peluang untuk memenangi tajaan pakej perkahwinan bernilai hampir RM30,000 termasuk tiket penerbangan bulan madu anjuran Neujina & Friends.

Harga yang ditawarkan untuk tempahan di kaunter bermula sekarang hingga 1 Jun adalah RM70 (dewasa) dan RM49 (kanak-kanak), sebarang pertanyaan lanjut boleh layari laman Instagram Neujina Events atau hubungi 017-2580047.

5. ‘Selera Kampung’ di Palong Terrace, Seri Kembangan

Bagi mereka yang berada jauh dari kampung halaman, sudah pasti lauk-pauk kampung mengundang kerinduan di kala Ramadan menjelma.

Apa kata anda ubati kerinduan itu dengan menikmati ‘Selera Kampung’ di Palong Terrace yang menyediakan sebanyak 126 sajian Melayu Nusantara dari selatan Thailand, Pulau Sumatera, Jawa, Borneo hinggalah ke selatan Filipina.

Antara menu yang memikat jiwa di Palong Terrace adalah Sup Ayam Berempah, Ayam Masak Lengkuas, Daging Masak Cili Hijau, Ikan Masak Ketumbar, Rendang Kambung, Gulai Nangka Muda, ulam-ulaman, aneka kerabu dan pelbagai jenis pencuci mulut.

Lihatlah meriahnya sajian kampung yang ditawarkan di Palong Terrace ini.

Harga untuk menikmati bufet Ramadan di Palong Terrace, Mines Resort & Golf Club adalah serendah RM78 dan ditawarkan bermula 9 Mei hingga 2 Jun ini.

Sempena bulan Ramadan ini juga, Mines Resort & Golf Club menawarkan promosi bermain golf sambil ditemani ahli kelab pada harga serendah RM899 setiap flight pada Isnin hingga Jumaat bermula 7 Mei hingga 9 Jun ini.

Sebarang tempahan ke atas bufet Ramadan atau promosi golf boleh dibuat melalui kaunter atau menghubungi talian 03-8943 2288 (sambungan 137).

6. 'Jom Makan' di Sunway Resort Hotel & Spa, Kuala Lumpur

Bufet Ramadan 'Jom Makan' di Sunway Resort Hotel & Spa menjanjikan anda pengalaman berbuka puasa yang cukup menggoda deria rasa.

Yang paling menarik pastinya sup gearbox asam pedas. Selain dimakan begitu sahaja, ia juga sesuai dihidangkan bersama nasi kosong.

Yang pasti, keaslian rasa hidangan itu cukup menyelerakan selepas seharian berpuasa.

Sup Gearbox Asam Pedas yang menjadi tumpuan utama dalam bufet itu.

Menurut Chef Yatim Supaat, sup gearbox asam pedas itu dimasak dengan api perlahan selama lapan jam. Selain itu, kerabu pegaga dan manga yang dhidangkan udang juga patut dicuba.

Selain itu, mereka turut menawarkan seleksi juadah lain seperti nasi minyak, nasi mandi, bubur lambu, ulam-ulaman, sambal petai, rendang dan seleksi kuih muih tadisional.

Bagi mereka yang berminat, harga buffer bermula RM98nett (kanak-kanak) dan RM188nett (dewasa), tempahan boleh dibuat menerusi talian 03-7492 8000/03-7495 2009.

7. 'Bazar Perdana' Restoran 10 Binjai PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Kuala Lumpur

Sungguh meriah suasana Restoran 10 Binjai PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Kuala Lumpur apabila tema 'Bazar Perdana' menjadi pilihan kerana membawa simbolik perpaduan masyarakat Malaysia berniaga berkonsepkan santai dan rileks.

Pada kali ini, restoran yang berada di hotel bertaraf empat bintang ini menyajikan 188 hidangan masakan tempatan seperti menu wajib Kambing Golek, Nasi Briyani Kismis, Daging Rendang, Sate Ayam dan Daging dan Kari Kepala Ikan.

 Nasi Briyani Kismis yang merupakan salah satu hidangan utama di Restoran 10 Binjai.

Tidak cukup dengan itu, Ais Batu Campur, Puding Jagung, Kuih Puteri Ayu, Ketayap, Kuih Lapis, Kek Coklat dan Red Velvet pula menanti anda sebagai pemanis mulut.

Hidangan bufet Bazar Perdana ini ditawarkan pada harga cukup berpatutan iaitu bernilai RM98 (seorang) dan sebarang tempahan untuk boleh dibuat melalui talian 03-74903838 atau 03-74903939.

8. 'Citarasa Timur Tengah' di Pusat Konvesyen Shah Alam

Pusat Konvesyen Shah Alam (SACC) sekali lagi muncul dengan hidangan bufet Ramadan tetapi pada kali ini bertemakan 'Citarasa Timur Tengah'.

Sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia yang semestinya menggemari masakan pedas ditambah pula dengan perisa rempah beraroma.

Lebih menarik lagi apabila hidangan utama, Nasi Kambing Kebuli disediakan khas oleh chef dari negara Timur Tengah, Chef Mohamad Saeranpoor Hossein.

Beberapa hidangan khas Timur Tengah yang pasti menjadi kegemaran anda seperti Kebab Ayam Irani, Sup Harira, Tabbouleh, Tahina dan Baba Ganoush (masakan terung) turut disajikan.

Sungguh lain daripada yang lain apabila SACC menyediakan hidangan menarik, Nasi Kambing Kebuli.

Walaupun berkonsepkan alaTimur Tengah, pengunjung juga dapat menikmati masakan tradisi Melayu seperti Rendang Negeri Sembilan, Ayam Percik, Asam Pedas Tetel, Pecal sayur dan banyak lagi!

Dengan harga hanya RM88 (dewasa) dan RM44 untuk (kanak-kanak usia tujuh hingga 10 tahun), pengunjung dapat menikmati pakej bufet ini dengan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa yang menarik.

Untuk sebarang tempahan dan pertanyaan, anda boleh menghubungi talian 03-5511 8858 atau menerusi laman Facebook SACC Official New.

9. 'Warisan Kampung' di Restoran Temasya, Movenpick KLIA.

Dah alang-alang singgah di hotel Movenpick KLIA, marilah berkunjung ke restoran Temasya kerana buat julung kalinya menyajikan hidangan iftar berkonsepkan 'Warisan Kampung'.

Kerinduan kepada kampung halaman pasti terubat dengan lebih 120 masakan tempatan yang disajikan di restoran ini.

Lebih menarik lagi apabila Rusa Golek menjadi menu pilihan utama untuk bufet Ramadan pada tahun ini dan sudah tentu ia lain daripada yang lain!

Pelbagai jenis kerabu yang disediakan termasuk Kerabu Ikan Bilis dan Kerabu Ayam.

Tidak hanya itu, Temasya turut menyediakan menu lain seperti Mi Kari, Sup Ayam, Bubur Lambuk, Rusuk Kambing Masak Kurma, Udang Masak Lemak Cili Padi, Asam Pedas Ikan Tenggiri, Ayam Bakar dan banyak lagi!

Harga menikmati bufet di Temasya @ Movenpick berharga RM125 (dewasa) dan RM63 (kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun) manakala kanak-kanak berumur bawah enam tahun pula adalah percuma.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh layari laman web Movenpick KLIA atau hubungi 03-86618661 (sambungan 8728).

Artikel Berkaitan