Jangan buat hal! Restoran Nasi Goreng Rempah Mafia port samseng 'berkumpul' - Selera | mStar

Jangan buat hal! Restoran Nasi Goreng Rempah Mafia port samseng 'berkumpul'

Presiden Indonesia, Joko Widodo juga pernah mencuba nasi goreng di restoran ini.

NASI Goreng Rempah Mafia, nama restoran ini sudah cukup mencuri perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya.

Restoran yang popular di Bandung dan seluruh warga Indonesia ini sememangnya punya keistimewaan tersendiri.

Jika tidak, masakan Presiden Indonesia, Joko Widodo sudi singgah di restoran yang mempunyai sembilan cawangan di Bandung ini.

Tidak cukup dengan itu, restoran ini juga mendapat liputan meluas di platform-platform media seperti CNN Indonesia, Reader's Digest Indonesia, saluran televisyen TRANS7 dan ANTV.

Restoran Nasi Goreng Rempah Mafia ini menjadi kegemaran ramai bukan hanya kerana namanya, tetapi kerana ia menghidangkan beberapa jenis nasi yang digoreng bersama rempah-ratus istimewa.

Nasi Goreng Yakuza istimewa buat mereka yang gemar menikmati urat lembu.

Sesuai dengan namanya, setiap jenis nasi goreng di sini dinamakan dengan gelaran-gelaran samseng dari seluruh dunia iaitu GodFather, Gangster, Yakuza, Badboyz, Triad, dan Brandal.

Setiap menu ini menggunakan rempah-ratus yang berbeza. Nasi Goreng Gangster yang merupakan menu kegemaran atau ‘Primadona’ restoran ini digoreng menggunakan 15 jenis rempah rahsia.

Nasi Goreng Yazuka pula hasil kombinasi rempah-ratus dengan urat lembu yang dimasak dengan cili hijau yang dahsyat rasanya.

Triad adalah nasi goreng dengan campuran udang kering dan cili merah asli.

Jika suka nasi goreng berlauk, boleh tambah ayam penyet sebagai pelengkap.

Sementara Preman, nasi goreng dengan rempah halia dan campuran sayuran hijau segar dan Godfather pula merupakan nasi goreng dengan campuran kicap berkualiti dan bawang merah segar.

Selain menggunakan gelaran-gelaran samseng, nasi-nasi goreng di sini juga ada tingkat kepedasan. 

Terdapat enam tingkat pedasan yang boleh dipilih iaitu: 

1. Menenangkan - Boleh dimakan oleh semua golongan terutama kanak-kanak.

2. Menggoda - Tingkat kepedasan yang membuka selera.

Inilah rupanya Nasi Goreng Gangster yang menjadi menu paling popular.

3. Menyesakkan - Tingkat kepedasan yang membuatkan anda mahu meneguk air sebaik sahaja suapan pertama. Tetapi masih membuka selera kerana kehadiran rempah-ratusnya.

4. Merisaukan - Kalau mengikut beberapa ulasan sebelum ini, tahap kepedasannya akan membuatkan sesorang itu berfikir sama ada mahu menghabiskan nasi goreng ini atau sebaliknya.

5. Menyesal - Kalau dah namanya menyesal, memang menyesallah apabila memilih tingkat kepedasan ini. Pasti makan sambil menangis.

Nasi Goreng Badboyz menggunakan cengkih sebagai salah satu ramuan istimewa.

6. Mematikan - Agak-agak anda berani tak mencuba tingkat kepedasan ini?

Satu lagi kelebihan menu nasi goreng di sini ialah ia dihidangkan dalam kuantiti yang banyak. Sedangkan harganya cuma di antara Rp15,000 (RM4.30) hingga Rp22,500 (RM6.45).

Pengunjung juga boleh memesan beberapa menu sampingan lain seperti telur mata kerbau, petai, ikan bilis goreng, urat lembu dan ayam penyet.

Nasi Goreng Godfather menggunakan kicap untuk pelengkap rasa dan mengimbangi rasa pedas.

Jadi, kalau bercuti ke Bandung, jangan lupa singgah ke Nasi Goreng Rempah Mafia. 

Cawangan utamanya terletak di Jalan Dipati Ukur, No.51, Lebakgede, Coblong, Kota Bandung. 

Restoran ini dibuka pada setiap hari, dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam. Selain itu, terdapat juga beberapa cawangan di kota Jakarta, Malang dan Cimahi.

Nasi Goreng , Mafia

Artikel Berkaitan