SEORANG bekas menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu yang dibangkitkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang Selasa selepas hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk dirakam keterangan. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut.Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pengerusi TH, bekas KSU Perbendaharaan direman tujuh hari bantu siasatan laporan RCISuspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu bagi mendapatkan perintah reman.Susulan penahanan terbaharu itu, ia menjadikan sekurang-kurangnya 17 individu ditahan SPRM secara berperingkat sejak siasatan terhadap dapatan RCI Tabung Haji dimulakan pada awal Ogos lalu.Daripada jumlah berkenaan, sekurang-kurangnya 10 individu sudah direman termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, bekas Pengerusi TH, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta beberapa pegawai kanan dan individu korporat.SPRM sebelum ini memaklumkan sebanyak 14 kertas siasatan dibuka, 28 premis diperiksa dan digeledah, manakala sekurang-kurangnya 115 saksi dipanggil untuk ditemu bual serta dirakam keterangan.Untuk rekod, RCI berhubung TH sebelum ini ditubuhkan bagi meneliti aspek pengurusan dan operasi institusi berkenaan.Ia termasuk dakwaan berkaitan kedudukan kewangan, tadbir urus serta keputusan pelaburan TH.Dapatan dan syor hasil siasatan RCI itu kemudiannya dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut. -The Star