suria

Anak Pengasas Dnars peroleh kekuatan “Mamiku dapat tersenyum, ketika aku cakap dia cantik, dia yang paling kuat”

Iqbar (kanan) bersama ibu, Faziani menerusi gambar yang dimuat naik di laman sosial kurang seminggu lalu. Foto instagram iqbar_hakim

ANAK sulung pengasas Dnars pada pagi Ahad meluahkan rasa sayu mengenai pemergian ibu yang dikasihi, Faziani Rohban Ahmad.

Iqbar Hakim Jasman, 20, berkata, pemergian ibunya merupakan ketentuan Tuhan meskipun ia pahit untuk ditelan.

"Langkah yang tidak pernah diduga, langkah yang penuh dengan keresahan, kesedihan, tapi apakan daya manusia tiada kuasa untuk melawan takdir Allah SWT," katanya menerusi perkongsian di laman sosial Instagram miliknya, pagi Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas Dnars terkorban dalam perjalanan sampaikan sumbangan ke tahfiz Pattani

ARTIKEL BERKAITAN: “Jaga kasih sayang, tiada siapa boleh pisahkan kami kecuali takdir Allah” - Pengasas Dnars sempat tinggalkan pesanan sebelum dijemput Ilahi

ARTIKEL BERKAITAN: Ratusan hadiri pengebumian Faziani


Iqbar turut menyifatkan kekuatan sebenar lahir saat seseorang itu diduga dengan ujian dalam kehidupan, dan pada masa sama, dia cuba untuk memperoleh kekuatan itu.

"Kekuatan sebenar lahir bila kita diuji, bukan bila kita dalam kesenangan. Itulah yang dapat saya simpulkan.

"InsyaAllah saya kuat dan reda, pemergian yang sangat baik 'husnul khatimah'. Tenanglah wahai kekasihku," katanya.

Kekuatan sebenar lahir bila kita diuji, bukan bila kita dalam kesenangan. Itulah yang dapat saya simpulkan.

IQBAR

Terdahulu, Iqbar meluahkan bahawa apa yang berlaku ini merupakan ujian yang berat untuk dirinya, tetapi dia perlu kuat demi tujuh adik beradiknya yang lain.

Suami Faziani, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, menenangkan anaknya di rumahnya di Kampung Paloh dekat Tumpat, Kelantan. Foto Bernama

Pemergian Faziani merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarganya, malah dalam industri produk kecantikan tempatan.

Iqbar turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang begitu prihatin terhadap pemergian ibunya.

Kurang seminggu lalu, Iqbar memuat naik gambar bersama Faziani di laman sosial dan menyifatkan ibunya seorang insan yang paling kuat.

"Alhamdulillah Mamiku dapat tersenyum, ketika aku cakap dia cantik, ketika aku cakap dia orang yang paling kuat. Ya Allah, pertahankan senyuman ini kerana ianya adalah penjaga setiap malam dan kekuatan aku. You are wonderful women!," tulisnya.

Jenazah Faziani dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit Luar dekat Tumpat, Sabtu malam. Foto Bernama

Allahyarham Faziani, 40, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan apabila kereta yang dinaikinya merempuh sebuah lori pada pagi Sabtu.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi waktu tempatan, kenderaan jenis Toyota Estima yang dipandu suami Faziani, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, merempuh sebuah lori.

Akibat rempuhan itu, Faziani tersepit di bahagian penumpang hadapan dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suaminya cedera.

Jenazah Faziani selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kedemit, Wakaf Bharu di Tumpat, Kelantan kira-kira pukul 10.20 malam Sabtu.


Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain