suria

Remaja Berbasikal Dari UK Ke Malaysia Untuk Sebarkan Mesej Kemanusiaan

Badrul Hisham Burhanuddin (kiri) mengetuai kumpulan empat remaja yang akan berbasikal dari UK ke Malaysia untuk sebarkan mesej kemanusiaan.

KUALA LUMPUR: Lazimnya, tamat sahaja pengajian, kebanyakan rakyat Malaysia yang belajar di luar negara seakan tidak sabar untuk mengambil penerbangan pulang dan secepat mungkin mahu bekerja.

Bagaimanapun, lain pula halnya dengan Badrul Hisham Burhanuddin, 24, yang baharu sahaja menamatkan ijazah sarjana kejuruteraan mekanikal di Universiti Sheffield di United Kingdom (UK).

Beliau tidak memilih jalan pulang seperti rakan-rakannya yang lain, sebaliknya akan berbasikal dari Sheffield, UK untuk pulang ke kampung halamannya di Klang, Malaysia.

Di sepanjang perkayuhannya, beliau mahu mempromosi Malaysia serta menyebarkan mesej kemanusiaan.

'Perjalanan pulang' Badrul Hisham akan melibatkan beliau menyeberangi sempadan lebih daripada 22 negara.

Beliau akan mengayuh basikal melalui persekitaran yang berbahaya dari jalan kampung yang dilitupi salji di Eropah kepada padang pasir Iran yang panas membakar.

Bagaimanapun, Badrul Hisham tidak akan bersendirian dalam perjalanannya kerana tiga pengayuh basikal dari Kelab Sick Siders Malaysia (SSMY), sebuah kelab berbasikal dari Johor Baharu akan turut serta.

Pengembaraan kumpulan ini yang dijangka memakan masa 17 bulan dijadualkan bermula 1 Ogos. BAGAIMANA IMPIAN INI BERMULA?

Menurut Badrul Hisham, yang akan mengetuai pengembaraan itu, semuanya bermula pada musim sejuk lepas setelah beliau mengalami kemalangan sewaktu berbasikal ke IceSheffield, arena ais yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya.

"Sewaktu tempoh penyembuhan selama seminggu, saya hanya duduk santai, sepanjang masa menonton televisyen.

"Suatu hari, ada dokumentari tentang orang yang berbasikal di seluruh dunia. Saya beritahu diri saya bagusnya kalau saya boleh buat yang sama", Badrul Hisham memberitahu Bernama dalam satu wawancara.

Sejak itu, beliau memendamkan dulu impiannya dan mula mencari maklumat berbasikal menjelajah dunia sehinggalah berjumpa kumpulan di Facebook yang membincangkan kegiatan luaran iaitu Malaysian Backpackers.

Beliau berkenalan dengan tiga ahli SSMY, Mohd Hafidz Hamid, 22, Muhammad Adib Mohamad Ali, 25 dan Mohd Azrulhan Mohd Shafei, 25.

Badrul Hisham tidak membuang masa untuk mengutarakan cadangannya yang pada masa itu boleh dianggap sebagai gila kepada ahli-ahli Sick Siders.

Memandangkan semuanya mempunyai minat yang mendalam dalam mengayuh basikal, bagi mereka berbasikal dari UK ke Malaysia bukan sahaja untuk memburu impian tetapi juga peluang untuk menghulur sumbangan.

"Saya masih ingat ketika memberitahu idea saya ini kepada seorang kawan semasa makan di sebuah restoran.

"Kawan saya ketawa besar seolah-olah keinginan saya berbasikal balik ke Malaysia sebagai satu lawak jenaka. Bagaimanapun, selepas kami beredar dari restoran itu, kawan saya memberitahu bahawa idea saya itu memang menarik jika boleh dilaksanakan", kata Badrul Hisham.

MENYEBAR MAKLUMAT NASIB PELARIAN PALESTIN DAN GELANDANGAN

Apabila ditanya mengenai matlamatnya, anak muda ini berkata beliau mahu mengumpul dana dan menyebarkan maklumat mengenai pelarian Palestin.

Melalui pengembaraannya juga, beliau mahu mempromosikan "Amal Antarabangsa untuk Gelandangan".

"Orang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Keadaan ini berlaku di seluruh dunia. Misi kami adalah untuk membantu menyelesaikan isu sejagat kemiskinan, gelandangan dan pelarian, terutamanya rakyat Palestin. Kami mahu semua pihak menjadi sebahagian daripada pengembaraan kami.

"Secara tidak langsung, masyarakat dunia akan tahu Malaysia adalah negara yang cintakan keamanan, mengamalkan kesederhanaan serta sikap kita terhadap orang miskin dan gelandangan.

"Semuanya ini akan dilaksanakan melalui interaksi kami dengan masyarakat tempatan di setiap tempat persinggahan", kata Badrul Hisham sambil menyatakan sesetengah penduduk kampung kecil di Eropah tidak pernah mendengar nama Malaysia.

Tambahnya, keempat-empat mereka akan mengibarkan bendera Malaysia dan Palestin di basikal mereka bagi meningkatkan kesedaran mengenai kedua-dua negara.

Dengan cara itu juga, dia berharap lebih ramai orang tampil untuk bertanya mengenai Malaysia dan perjuangan rakyat Palestin.

KELAB SICK SIDERS MALAYSIA

Sementara itu, Muhammad Adib Mohamad Ali yang ditemui penulis baru-baru ini berkata Kelab Sick Siders Malaysia (SSMY) terlibat dalam ekspedisi basikal sejak 2009 dan mereka tahu Badrul Hisham serius ketika mengemukakan cadangan itu kepada mereka.

"Bagi kami ekspedisi ini akan menjadi yang terpanjang dan paling tak masuk akal yang kami sertai setakat ini.

"Kumpulan kami nanti akan menjadi kumpulan paling muda Malaysia mengayuh basikal menyeberangi 22 negara meliputi jarak berjumlah 29,000 km", katanya, ambil menambah pengembaraan itu akan tamat dalam tempoh 17 bulan.

Mereka menerima jemputan Badrul dan menyahut cabaran itu kerana setakat ini tempoh paling lama kumpulan itu berbasikal ialah sebulan.

Katanya, selepas persetujuan dicapai, mereka mula merancang laluan pengembaraan mereka dan mencari penaja dan kawan di 22 negara berkenaan yang boleh membantu mereka.

DANA DAN PENGINAPAN

Ditanya mengenai dana untuk ekspedisi itu, Muhammad Adib berkata mereka masih belum menerima sebarang sokongan dan tajaan tetapi masih mengusahakannya.

"Kami tidak berputus asa. Ini adalah impian kami. Kami mahu menunjukkan kepada orang muda di luar sana bahawa cabaran senantiasa ada jika kita mahu memburu impian.

"Bagaimanapun, jangan biarkan cabaran itu menyekat anda daripada mencapai impian. Kami menggunakan wang sendiri dan apa yang kami ada untuk menjadikan impian ini satu kenyataan.

"Kami melakukan ini atas faktor kemanusiaan dan mahu menaikkan taraf Malaysia di mata dunia. Kami mahu mereka tahu Malaysia sebuah negara progresif, rakyatnya mudah mesra, berpelajaran dan penyayang. Bukankah ia juga promosi hebat untuk Tahun Melawat Malaysia 2014?" tambahnya.

Kumpulan ini yakin pihaknya akan mendapat tajaan sebelum, semasa atau selepas ekspedisi.

Buat masa sekarang, mereka akan mengguna wang mereka, hasil daripada perniagaan atas talian.

"Kami menjual barangan, pakaian dan bahagian basikal yang ditempah khas. Barangan ini boleh dilihat secara atas talian di www.sicksidersmalaysia.com.

"Keuntungan daripada perniagaan ini akan membiayai pengembaraan kami ini", katanya.


UK, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain