suria

MPN cadang sistem bersepadu, perkukuh jaringan keselamatan sosial demi rakyat

Muhyiddin (kanan) bertemu dengan peserta Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial. foto AZHAR MAHFOF/The Star

SISTEM bersepadu khusus yang merangkumi pelbagai agensi kerajaan harus dibangunkan agar penyaluran bantuan kepada golongan rentan dapat dijalankan secara efektif, kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan diagihkan secara telus dan cekap dengan seberapa cepat yang mungkin kepada golongan sasar," kata Muhyiddin yang merupakan pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara Keterangkuman Sosial yang dianjurkan oleh Institut Masa Depan Malaysia (MASA), sebuah badan pemikir bebas yang menggabungkan pakar-pakar dalam kerajaan dan akademik.

Muhyiddin memberitahu, mekanisme bersepadu bakal berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti pelan bantuan jangka pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat berkelayakan.

"Ini boleh mengurangkan kerenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kewangan negara.

"Sebagai contoh, Abu mempunyai tiga anak serta isteri yang tidak bekerja. Jika dia diberhentikan kerja, maka sistem ini secara automatik akan dapat mengesan status Abu melalui notifikasi yang dicerap daripada data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Status Abu sebagai seorang yang hilang pekerjaan akan melayakkan beliau menerima bantuan jangka pendek selama dia tidak bekerja, maksimum tiga bulan untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga mendapat pekerjaan baharu," jelas Muhyiddin.

Beliau menambah, sistem bersepadu juga boleh berfungsi menyusun semula semua bentuk manfaat yang layak diterima rakyat Malaysia sepanjang hayat menerusi data merentas agensi.

pm 1

Muhyiddin (tengah) bersama peserta Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial.

Seminar yang berlangsung di Hotel Everly Putrajaya pada Khamis menyediakan platform kepada pemegang taruh seperti ahli akademik, pemain industri, pembuat dasar dan masyarakat sivil untuk mengumpul cadangan input berkaitan pemulihan ekonomi negara.

Ini termasuk mengupas isu-isu dan cabaran berkaitan dengan aspek sosio-ekonomi dalam merangka strategi menyeluruh ke arah kesejahteraan sosial dan kemakmuran ekonomi, serta

memperkasa agenda kemampanan ekonomi Malaysia yang lebih inklusif dan lestari.

Topik yang dibincangkan di seminar antaranya meliputi isu-isu kemiskinan, pemerkasaan golongan rentan, meningkatkan daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pemulihan sektor pelancongan dan kelestarian ekonomi hijau.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, menurut data e-Kasih sehingga 30 Jun 2022, ketua isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin tegar meningkat kepada 145,000 berbanding 45,000 pada 2020.

Beliau mengingatkan bahawa adalah lebih membimbangkan apabila kira-kira 600,000 isi rumah M40 telah jatuh ke dalam kategori miskin, di mana ia menyumbang kepada peningkatan golongan B40 ke kumpulan B60, akibat kekangan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

"Peningkatan ketara ini mencerminkan realiti sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat secara keseluruhannya. Ramai yang masih terpaksa berdepan situasi sukar ekoran kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup, kehilangan pekerjaan atau penyusutan dalam pendapatan," kata Muhyiddin.

PM 2

Muhyiddin ketika berucap pada Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman.

Beliau menambah, jika agensi dan pihak yang berkaitan tidak mengambil tindakan segera sebagai langkah intervensi, dibimbangi isu sosioekonomi yang dihadapi golongan rentan akan meruncing dan menjadi lebih teruk.

"Yang miskin menjadi papa kedana, perniagaan terpaksa ditutup, produktiviti akan merosot dan akhirnya merencatkan proses pemulihan negara," katanya.

Sejak Disember 2021, industri telah menyatakan kebimbangan mengenai masalah kekurangan tenaga buruh khususnya dalam sektor perladangan yang terpaksa menanggung kerugian hampir RM20 bilion pada tahun lalu.

Antara Januari dan September 2022, sebanyak 1.15 juta aplikasi pekerja asing dikemukakan oleh sektor industri.

Daripada jumlah itu, sebanyak 467,000 telah diluluskan tetapi hanya 76, 000 yang dibawa masuk.

"Ini menunjukkan jumlah kemasukan pekerja asing adalah jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar industri dan seterusnya merencatkan produktiviti sektor berkenaan. Justeru, proses pengambilan pekerja asing mengikut keperluan sektor wajar dipercepatkan," jelas Muhyiddin.

Mengenai beban kewangan dan masalah aliran tunai yang dihadapi komuniti perniagaan terutama PMKS, MPN mencadangkan supaya program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) diteruskan.

"Sebarang kelewatan dalam menyalurkan bantuan akan menjejaskan kelangsungan hidup dan ketahanan perniagaan mereka," kata beliau.

pm 3

Peserta seminar berkongsi pandangan bersama Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, kerajaan harus meneliti aspek ‘business acceleration’ bagi pembangunan PMKS yang meliputi hampir 98 peratus entiti perniagaan dalam negara dan menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu.

"Justeru, kita mesti memajukan PMKS menjadi syarikat penengah atau mid-tier companies yang akhirnya menjadi syarikat multinasional (MNC) milik tempatan," tambah beliau.

Sementara itu, MPN menyarankan agar inisiatif komprehensif untuk jangka pendek, sederhana dan panjang dirancang untuk meningkatkan kapasiti dan menghidupkan semula sektor pelancongan domestik.

Isu jaminan bekalan makanan juga perlu diberikan perhatian sebagai agenda utama untuk menangani isu tidak ada jaminan rantaian bekalan dan kebergantungan terhadap import yang menghantui negara.

Muhyiddin memberitahu bahawa MPN telah mencadangkan supaya Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan semula tabung makanan dalam bentuk pinjaman bagi mengoptimumkan penggunaan tanah untuk pengeluaran makanan dalam sektor pertanian.

"Mungkin sudah tiba masanya pelan penggunaan tanah yang komprehensif diperkenalkan supaya aspek pengeluaran, ketersediaan (availability) dan pengedaran makanan diberi perhatian sewajarnya. Kita perlu menetapkan sasaran penghasilan produk pertanian dan ternakan dalam skala besar bagi mencapai tahap sara diri negara untuk memenuhi keperluan jangka panjang," katanya.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa sejak kebelakangan ini, Malaysia mengalami kerugian besar berikutan cuaca melampau seperti banjir kilat dan tanah runtuh yang menyebabkan kerosakan harta benda awam dan kehilangan nyawa.

"Seiring dengan perubahan iklim yang menyaksikan bencana alam semakin kerap berlaku, isu ini tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan serta agensi yang terlibat.

"Usaha bersepadu untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap fenomena ini perlu digerakkan dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat pembuat dasar.

"Langkah ini penting supaya usaha pencegahan dan mitigasi bencana dapat dilaksanakan secara berkesan," kata beliau.

PM 4

Muhyiddin pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial.

Negara tidak terlepas dari merasai kesan dari perubahan geopolitik dunia seperti perang Rusia-Ukraine yang telah menjejaskan rantaian bekalan makanan dan ketidakstabilan harga minyak dan komoditi termasuk bijirin.

Muhyiddin mengatakan negara menyaksikan kenaikan harga barangan dan juga kenaikan kos sara hidup serta kejatuhan nilairinggit.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar inflasi Malaysia meningkat pada Ogos 2022 iaitu 4.7 peratus, berbanding 4.4 peratus pada Julai.

Inflasi makanan terus menjadi penyumbang utama kepada inflasi yang tinggi iaitu pada 7.2 peratus, berbanding 6.9 peratus pada bulan sebelumnya.

"Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang secara positif, realitinya situasi sebenar ekonomi negara buat masa ini amat mencabar," kata Muhyididn.

Bank Dunia telah menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia untuk 2023 kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus dan memberi amaran keadaan bergolak akan berterusan selepas ini.

"Pakar ekonomi turut meramalkan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun depan. Malaysia juga tidak terkecuali. Ini akan menjejaskan prestasi hasil dan membataskan keupayaan perbelanjaan kerajaan dalam melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kepada rakyat seperti yang pernah dilaksanakan semasa tempoh pandemik," katanya.

Menurut Muhyiddin, tumpuan terhadap strategi pemulihan yang lebih menyeluruh dan inklusif bagi memastikan tiada golongan terpinggir khususnya masyarakat pedalaman, Orang Asli serta pribumi Sabah dan Sarawak.

"Kita mahu mereka sama-sama menikmati hasil kemakmuran negara seperti yang dihasratkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama atau WKB2030," ujar beliau.

"Dalam keadaan ekonomi yang sukar, kita tidak boleh berkompromi dengan isu kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat demi kepentingan politik.

"Kesejahteraan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan negara," kata Muhyiddin.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain