suria

Dun Pahang, Perlis bubar berkuat kuasa pada Jumaat

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy mengumumkan pembubaran Dun Pahang berkuat kuasa pada Jumaat. Foto: Sinar Harian

DEWAN Undangan Negeri (Dun) Pahang dibubarkan berkuat kuasa pada Jumaat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengumumkan perkara itu berkata, pembubaran tersebut dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu.

"Pembubaran ini selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, apabila Tuanku berkenan agar Dun Pahang ke-14 dibubarkan berkuat kuasa pada Jumaat bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri dilaksanakan serentak dengan PRU di peringkat Persekutuan.

"Tarikh ini (Jumaat) dipilih, bagi membolehkan pembentangan dan perbahasan mengenai Belanjawan 2023 negeri disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan," katanya ketika mengadakan sidang akhbar khas di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah! PM umum bubar Parlimen, PRU15 menyusul

Menurut Wan Rosdy, notis pembubaran diserahkan kepada Yang Dipertua Speaker Dun, Datuk Seri Ishak Muhamad pada petang Khamis untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau menjelaskan, pembubaran Dun Pahang dibuat secara serentak dengan Parlimen bagi mengelakkan proses dan musim pilihan raya yang berulang-ulang dalam tempoh yang singkat.

Dalam pada itu Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man turut mengumumkan pembubaran Dun Perlis ke-14, juga berkuat kuasa pada Jumaat.

Pembubaran itu selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Dun Pahang, Dun Perlis, bubar, PRU15

Artikel Lain