suria

Sah! PM umum bubar Parlimen, PRU15 menyusul

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membuat pengumuman mengenai pembubaran Parlimen, petang Isnin.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Isnin, bagi membuka laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Ismail Sabri mengumumkan perkara tersebut menerusi pengumuman khas yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen, pukul 3 Isnin.

Pembubaran itu diumumkan beliau selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

ARTIKEL BERKAITAN: PM buat perutusan khas petang ini, netizen mula teka-teki tarikh PRU15

ARTIKEL BERKAITAN: Parlimen bubar sebelum Bajet 2023 lulus? Ura-ura PM buat pengumuman penting petang ini

"Tengah hari semalam, saya menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada baginda mengenai pembubaran Parlimen ke-14.

"Selaras dengan Perkara 40 (2)(b) dan Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan, ke bawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya supaya Parlimen ke-14 dibubarkan hari ini, Isnin 10 Oktober 2022," menurut Ismail Sabri dalam pengumuman berkenaan.

Justeru ujarnya, ketua-ketua kerajaan negeri kecuali kerajaan negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor disarankan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

"Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos," ujarnya.

Tambah Ismail Sabri, penetapan tarikh hari penamaan calon, hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain