suria

Parlimen bubar sebelum Bajet 2023 lulus? Ura-ura PM buat pengumuman penting petang ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan mengumumkan pembubaran Parlimen petang ini.

TEKA-TEKI tentang pembubaran Parlimen nampaknya semakin hangat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka membuat pengumuman mengenainya pada petang Isnin.

Mengikut jadual, Ismail Sabri akan menghadiri Perhimpunan Agung MIC di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, pada pukul 2.30 petang.

Justeru sudah tentu pengamal media menunggu sama ada pengumuman itu dibuat dalam majlis sama atau program berasingan.

ARTIKEL BERKAITAN: PM menghadap Agong kali kedua, Umno panggil mesyuarat khas MKT esok... Parlimen bakal dibubar?

Sebelum ini media melaporkan, Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang Ahad, dipercayai untuk memohon pembubaran Parlimen sebelum baginda berangkat ke London, pada malam Ahad.

Al-Sultan Abdullah dijadual membuat kunjungan hormat kepada Raja Britain, Raja Charles III dalam lawatan khas baginda ke London bermula 10 hingga 16 Oktober ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Jemaah Menteri dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bagi memaklumkan bahawa beliau sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sekali gus memberi laluan kepada PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

Adalah difahamkan juga Istana Negara akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan Yang di-Pertuan Agong berkenan membenarkan Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Jika pengumuman pembubaran Parlimen dibuat petang ini maka senario ini lebih kurang sama dengan situasi pada 1999.

Pada waktu itu, Parlimen dibubarkan selepas pembentangan bajet.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran Parlimen sekitar 10 November, selepas bajet dibentang di Dewan Rakyat pada 29 Oktober.

Secara logik, beberapa petunjuk yang memberi bayangan bahawa PRU15 tetap akan diadakan dalam masa terdekat sebenarnya secara tidak langsung telah jelas kelihatan.

Contoh pertama, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah berkuat kuasa bermula 5 Oktober lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Akta A1663 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan pada 6 September lalu. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain