Orang ramai memberi tumpuan kepada perutusan khas Ismail Sabri yang dibuat secara langsung pada Isnin petang.
SEJAK menerajui kepimpinan negara bermula 21 Ogos 2021, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sering berdepan pelbagai tohmahan kononnya kerajaan sedia ada dibentuk secara tidak demokrasi. Justeru kata Ismail Sabri, pembubaran penggal Parlimen Ke-14 berkuat-kuasa Isnin diharap dapat menutup mulut pihak-pihak yang tidak senang hati dengan pembentukan kerajaan selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH). "Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan Kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15. "Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap," katanya ketika menyampaikan perutusan khas secara langsung pada Isnin petang. Tambah Ismail, adalah penting untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik. "Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023 serta mengekalkan kestabilan politik. "Akhir kalam, dengan penuh keinsafan, pengharapan dan tawakal, saya mendoakan semoga seluruh Keluarga Malaysia dan negara sentiasa dipayungi rahmat, dilimpahi berkat," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI