suria

Projek video pelarian etnik Chin, pembuat filem lancarkan petisyen terhadap kerajaan Malaysia

 

PELARIAN etnik Chin dan pembuat filem, Colin Laltanpuia hampir menitiskan air mata apabila mendengar perkongsian kanak-kanak daripada komunitinya mengenai impian masa depan mereka.

Berusia 29 tahun, pelajar yang baru sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing itu menghabiskan masa lebih dua bulan merakam pengalaman lebih 60 pelarian etnik Chin di seluruh Malaysia bagi melengkapkan “The Chin Up Project”, yang turut mendapat kerjasama beberapa kumpulan advokasi.

Projek ini mengetengahkan isu pemberhentian perlindungan kepada komuniti Chin.

"Saya sedih apabila mendengar cerita daripada masyarakat komuniti saya kerana sama seperti saya, mereka juga terpaksa memilih antara kembali ke Myanmar dan tidak dapat tinggal di negara ketiga. Kami tidak tahu jalan mana harus dipilih," kata Laltanpuia.

Sewaktu pembikinan dokumentari ini, Laltanpuia menerima berita bahawa permohonan penempatan semula beliau ke Australia telah ditolak.

Beliau telah membuat permohonan pada April, iaitu beberapa bulan sebelum Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) mengumumkan dasar baru untuk menamatkan program pelarian etnik Chin pada Disember 31, 2019.

"Saya dapat rasakan tidak dapat mencapai impian menjadi pembuat filem jika kembali ke Myanmar, jadi pilihan saya seterusnya untuk cuba ditempatkan di Australia.

"Tetapi itu pun telah ditolak," katanya.

The Chin Up Project (boleh layari www.chinup.my) berasaskan kepada satu persoalan iaitu "Di mana anda melihat diri anda pada 2020?".

Dokumentari ini merakam jawapan daripada pelbagai generasi Chin - bermula kanak-kanak berusia 12 tahun yang bercita-cita menjadi doktor sehingga seorang pakcik berusia 56 tahun yang inginkan pendidikan lebih baik untuk kanak-kanak Chin.

Selain itu, ada juga di antara mereka yang hanya inginkan kesamarataan di negara asal mereka.

"Saya mahu tinggal di sebuah negara yang tidak ada diskriminasi di antara orang kaya dan miskin, dan kerajaan yang melayan kami sama rata," kata pelarian Chin, Esther Niang, 30, yang bekerja di Yayasan Dignity for Children.

Sementara itu, bagi Ruth, 12, cita-cita beliau untuk menjadi seorang doktor mungkin akan terkubur selamanya apabila telah hilang status sebagai seorang pelarian.

"Cita-cita saya untuk menjadi doktor, tetapi sekarang ia tidak boleh dicapai.

"Jika kembali ke Myanmar, kami tidak mampu mendapat wang atau ilmu pengetahuan untuk ke sekolah menengah. Ini akan menyukarkan usaha saya untuk menjadi doktor," katanya.

Laltanpuia yang meninggalkan Myanmar pada 2010 untuk membebaskan diri dari konflik yang melanda negara itu, menganggap dirinya sebagai "pelarian yang bertuah".

"Saya diberi dana untuk melanjutkan pelajaran serta tajaan untuk membeli sebuah kamera. Saya berharap peluang yang sama akan diberikan kepada pelarian Chin yang lain,” katanya.

Beliau sedar tidak semua pelarian mempunyai peluang yang sama - namun kesemua mereka kini berada dalam situasi serupa.

"Saya berharap (The Chin Up Project) ini mampu membuka mata dunia, dan akan ada orang yang membantu dan membenarkan kami tinggal di negara ketiga supaya kami dapat memenuhi cita-cita,” kata Laltanpuia.

Projek ini turut melancarkan petisyen bagi meminta Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Myanmar di Malaysia, Zaw Myint untuk kembalikan pelindungan UNHCR kepada etnik Chin serta membantu membangunkan dasar yang lebih baik bagi pelarian dan pencari suaka di negara ini.

Ketika rencana ini disiarkan, petisyen tersebut telah menerima sokongan lebih 2,300 individu sejak dilancarkan pada 15 Februari lalu.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang turut menyokong petisyen tersebut berkata, aspirasi masyarakat yang terdedah kepada bahaya harus diberi keutamaan.

Selain itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menganggap adalah penting untuk mengambil kira pandangan pelarian dalam membangunkan dasar kerana aspirasi rakyat adalah asas untuk memperkasakan mereka.

"Kita tidak boleh anggap persetujuan gencatan senjata bermaksud Myanmar selamat, kerana masih banyak kebimbangan mengenai penganiayaan dan diskriminasi etnik.

"Malaysia perlu menimbang semula dan menyusun semula dasar pelarian kita, bukan hanya untuk masyarakat Chin tetapi untuk semua pelarian lain," tambahnya  ketika berucap di sambutan Hari Kebangsaan Chin pada 15 Februari.

Pada Jun lalu, UNHCR mengumumkan dasar global untuk menamatkan program pelarian komuniti Chin pada 31 Disember ini. Tanpa status pelarian, masyarakat Chin perlu kembali ke Myanmar atau tinggal di Malaysia sebagai pendatang tanpa izin.

Jurucakap serantau UNHCR di Bangkok, Caroline Gluck dalam maklumbalasnya kepada R.AGE merujuk kepada kenyataan awam 8 Februari yang menekankan kebimbangan terhadap keganasan yang masih berterusan di selatan Chin dan Rakhine di Myanmar.

"Sebagai sebahagian daripada usaha antara agensi, UNHCR bersedia menyokong aspek kemanusiaan di Myanmar, dan telah menawarkan sokongan kepada kerajaan Bangladesh untuk menilai dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang mencari bantuan keselamatan dari keganasan Myanmar.

"UNHCR terus mengawasi dan menilai dasar individu mereka untuk pelarian etnik Chin di seluruh negara yang menerima kehadiran mereka, dan tetap komited bagi memastikan pendekatannya untuk melindungi kesemua pelarian mencerminkan perkembangan baru dan keadaan yang berubah-ubah," kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa Malaysia dan kedutaan Myanmar masih belum memberi sebarang maklum balas ketika rencana ini disiarkan pada 20 Februari lalu. Susulan itu, Majlis Keselamatan Negara kemudiannya mengeluarkan kenyataan media.

Pertubuhan advokasi mendakwa masyarakat Chin, terutama kanak-kanak, terjejas teruk akibat dasar baru tersebut.

"(Dasar global yang baru) akan menyukarkan kanak-kanak yang tidak dilahirkan di Myanmar," kata Willa Mowe, pengarah eksekutif Global Shepherds.

"Ia boleh mengambil masa satu atau dua tahun untuk membolehkan kanak-kanak mendapatkan kewarganegaraan, dan sepanjang tempoh itu kanak-kanak tersebut akan tercicir dari sesi persekolahan dan kemudahan di negara mereka sendiri," katanya.

"Kami gembira untuk bersolidariti bersama pelarian di Malaysia kerana walaupun (dasar ini) hanya menjejaskan pelarian Chin ketika ini, ia mungkin melibatkan orang lain pada hari esok," kata Deborah Henry, salah seorang pengasas Sekolah Fugee.

"Tiada siapa mahu menjadi pelarian dan tiada siapa yang mahu memberikan bantuan. (Kita mesti) memberi mereka alat bantuan supaya mereka boleh terus membina kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka supaya dapat memberi manfaat kepada negara."

The Chin Up Project mendapat kerjasama Alliance of Chin Refugees (ACR), Dignity for Children, Fugee School, Global Shepherds, Malaysian Care, Malaysian Social Research Institute (MSRI), R.AGE, Refuge For The Refugees dan YLDC by Fondacio.

Projek Chin, Myanmar, UNHCR

Artikel Lain