suria

Belayar sambil beramal beri kepuasan berbeza buat kaki travel

SESETENGAH daripada kita merasakan melancong masa terbaik untuk lari seketika daripada aktiviti seharian selepas penat bekerja.

Namun pernahkan anda bayangkan melancong sambil melakukan kerja amal meluangkan masa membantu mereka yang kurang bernasib baik? Ia pastinya memberi kepuasan berbeza!

Bagi merasai pengalaman itu, Genting Cruise Lines memperkenalkan Voluntourism Cruise iaitu program kesukarelawan yang memberi pilihan kepada tetamu pelayaran melibatkan diri dalam kegiatan murni itu mengikut jadual dan destinasi yang ditetapkan.

Menurut Presiden Genting Cruise Lines, Kent Zhu, program ini merupakan sebahagian usaha pihaknya menambahbaik perkhidmatan, selain menggalakkan orang ramai termasuk krew dan kakitangan melibatkan diri melalui program kesukarelawanan secara percuma.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu risau percutian atas kapal mewah, Genting Dream ada ruang khas makanan halal

"Bagi pihak Genting Cruise Lines, kami begitu teruja untuk memperkenalkan kempen Voluntourism yang pertama di rantau Asia menerusi kapal persiaran di bawah syarikat kami, Dream Cruises dan Star Cruises.

"Tetamu pelayaran berpeluang menikmati keistimewaan meluangkan masa bergaul bersama masyarakat dan penduduk setempat yang berbeza budaya dan cara hidup, selain dapat melihat lebih dekat keperitan dan kesukaran individu kurang bernasib baik meneruskan kehidupan. Kami berharap mereka tidak melepaskan peluang berharga ini untuk melakukan sesuatu yang benar-benar bermakna, disamping mengenali dan memahami penduduk setempat di setiap destinasi dan yang dilawati ketika pelayaran.

"Kami juga menggalakkan anggota krew dan kakitangan kami untuk menjadi sebahagian daripada kempen Voluntourism ini dengan meluangkan masa mereka untuk melibatkan diri dalam pelbagai kerja sukarelawan di destinasi-destinasi yang menarik di rantau ini,” katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, Presiden Dream Cruises, Thatcher Brown berkata ia merupakan suatu penghormatan buat Dream Cruises melaksanakan kempen ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

"Ia merupakan suatu penghormatan yang besar bagi Dream Cruises untuk memulakan kempen ‘Voluntourism’ di Asia Tenggara dengan kapal pesiaran Genting Dream.

"Kumpulan Genting Cruise Lines bermula di rantau Asia Tenggara sejak 25 tahun lalu dan amat bermakna bagi kami melancarkan kempen kerja sukarela pertama di rantau ini yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab social korporat secara berterusan buat komuniti di rantau ini.

"Kami tidak sabar untuk memperkenalkan lebih banyak aktiviti Voluntourism di seluruh Asia dalam masa terdekat," ujarnya.

Voluntourism merupakan program riadah pertama di Asia diperkenalkan syarikat Genting Cruise Lines melalui kapal pelayaran Genting Dream bertujuan menggalakkan penumpang melibatkan diri dengan kerja sukarelawan ketika melancong.

Program itu diperkenalkan bersempena sambutan ulang tahun Genting Cruise Lines ke-25 tahun ini.

Tambah Brown, program Voluntourism Cruise yang pertama di rantau ini bakal diperkembangkan melalui satu lagi kapal pelayaran di bawah Genting Cruise Lines iaitu Star Cruise.

Program kesukarelawanan ini diadakan dua kali sebulan, bergantung kepada jadual, perjalanan dan destinasi yang dirancang pihak pelayaran.

Pelayaran Voluntourism pertama bermula dengan dua lokasi pertama iaitu di Eden Handicap Service Centre di Pulau Pinang dan Sekolah Baan Kalim di Phuket, Thailand melalui pelayaran empat hari tiga malam.

Tiada bayaran dikenakan kepada mana-mana penumpang yang berminat untuk menyertainya. Anda hanya perlu mendaftar di kaunter Shore Excursion yang terletak di lobi tingkat enam, kapal berkenaan.

Untuk keterangan lanjut, sila ke laman web https://www.dreamcruiseline.com

Artikel Lain