suria

Bedah untuk cantik jadi trend! Malaysia bakal setanding Korea Selatan

Korea Selatan mempromosikan industri pembedahan kosmetik secara meluas dan terbuka.

JIKA hari ini pembedahan plastik masih lagi dilakukan secara senyap-senyap dan tertutup tetapi keadaan itu dijangka berubah dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi.

Pakar Runding Pembedahan Kosmetik, Rekonstruktif dan Plastik, Pusat Perubatan Beverly Wilshere, Kuala Lumpur, Dr Mohamad Nasir Zahari berpendapat, industri pembedahan plastik di negara ini akan menjadi lebih terbuka dan berkembang maju seperti Korea Selatan kerana kecantikan kini sudah menjadi satu trend dalam kalangan masyarakat.

“Kecantikan sudah jadi trend… maknanya ikut-ikutan. Kalau nak ikutkan, pembedahan plastik dan rawatan estetik amat berleluasa di negara ini. Jadi kita akan jadi seperti Korea Selatan sekiranya trend tidak berubah. Perubahan trend itu ada... mungkin di Korea Selatan dalam tempoh 20 tahun lagi, trend mereka mungkin bertukar tetapi kita baru nak masuk trend mereka ketika ini.

“Jadi saya jangka jadi very open. Sama ada baik atau buruk saya tak berani nak cakap (kena tengok keadaan) tapi saya harap baiklah. Masa dah berubah orang sanggup keluarkan duit untuk cantik. Ia akan berlaku kerana orang dah mula cakap mengenai perkara ini dalam Instagram. Jadi lama-lama penerimaan itu lebih terbuka. Sekarang ia berlaku secara perlahan-lahan… evolusi,” katanya dalam temubual eksklusif bersama mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: "Tolak risiko asalkan cantik, seksi" - Dr Nasir dedah obses pesakit pembedahan plastik

Jelas Dr Nasir, industri pembedahan plastik terutamanya kosmetik boleh menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara sekiranya betul-betul dimajukan.

Industri pembedahan kosmetik di negara ini mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan rakyat tempatan.

“Di sini, kira-kira 34 peratus merupakan pelanggan dari luar negara merangkumi Australia, New Zealand, Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat, China, United Kingdom, Vietnam, Brunei dan lain-lain negara manakala 66 peratus lagi rakyat tempatan.

“Jadi kalau betul-betul dimajukan ia akan mendatangkan impak positif kerana industri pelancongan kesihatan meningkat ke angka bilion setiap tahun. Jika industri pembedahan kosmetik di Arab Saudi (negara Islam) dilakukan secara terbuka, saya yakin Malaysia juga boleh menjadi seperti mereka jika kita dibenarkan untuk mempromosikannya,” kata Dr Nasir.

ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka anime puas hati

Dr Nasir berkata kebanyakan pelanggan gemar mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Beverly Wilshere kerana ia selesa dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kebanyakan suka tempat ni sebab private , di sini mereka datang terus masuk macam pejabat. Lagipun kami beroperasi secara sah.

“Pelanggan juga berpendapat rawatan estetik tak sakit jadi kenapa nak pergi hospital. Selain itu nama yang unik, tempat yang bagus membuatkan mereka yakin untuk mendapatkan rawatan di sini,” katanya.

Menurut Dr Nasir yang berpengalaman selama 18 tahun dalam industri pembedahan plastik, teknologi pembedahan plastik di negara ini hampir sama seperti digunakan negara lain.

Jejaka anime yang berasal dari Ketereh, Kelantan melakukan pembedahan plastik kerana ingin kelihatan seperti artis K-Pop.

“Pembedahan plastik sebenarnya boleh dilakukan di sini kerana hasilnya lebih kurang sama sahaja. Cuma di Malaysia ada sekatan-sekatan tertentu dan harga lebih tinggi. Pesakit juga tidak mahu menonjolkan diri, dia buat sorok-sorok. Dari segi doktor pula, ada sekatan untuk menonjolkan kepakaran kami.

“Malaysia lebih kepada pembedahan rekonstruktif iaitu untuk memperbaiki kecacatan semula jadi (sumbing) atau kemalangan. Jadi kita masih melakukan perkara yang ada indikasi perubatan. Berbeza dengan Korea yang mempunyai bilangan pesakit yang tinggi untuk pembedahan plastik, sebab itu orang yakin dan sanggup pergi ke negara itu,” katanya.

Pembedahan plastik sebenarnya boleh dilakukan di sini kerana hasilnya lebih kurang sama sahaja. Cuma di Malaysia ada sekatan tertentu dan harga lebih tinggi. Pesakit juga tidak mahu menonjolkan diri, dia buat sorok-sorok.

DR MOHAMAD NASIR ZAHARI

Malah kata Dr Nasir, keghairahan penduduk Korea Selatan untuk kelihatan cantik sememangnya menjadi penggerak utama kepada industri pembedahan kosmetik ini, ditambah pula dengan promosi pelancongan yang dilakukan secara besar-besaran.

“Mereka berjaya mencipta trend ini dan menyatukannya dengan teknologi, fesyen, muzik dan drama yang menjadi kegilaan rakyat di negara ini. Secara tidak langsung mereka menonjolkkan Korea Selatan secara keseluruhan.

“Mereka melakukan secara total, transformasi untuk memajukan negara itu. Ia ibarat satu branding. Kerajaan mereka juga beri sokongan kepada semua... yang penting mereka buat secara terbuka. Sebab itu mereka diangkat negara paling maju dalam industri ini,” katanya.

Artikel Lain