suria

Tiga Kapal Persiaran Berlabuh Serentak Di Jeti Swettenham

Pemandangan menakjubkan: Gambar 'Mariner of the Seas' (kanan) dan 'Superstar Gemini' yang berlabuh di jeti Swettenham di George Town, Pulau Pinang yang dirakamkan oleh jurukamera drone, Isnin.

GEORGE TOWN: Tiga buah kapal persiaran (cruise) telah membawa sejumlah 9,114 penumpang dan anak kapal untuk lawatan sehari di Pulau Pinang.

Dipercayai ini menjadi kali pertama tiga buah cruise memasuki Pulau Pinang pada hari yang sama, memberikan habuan yang tidak disangka-sangka kepada pengusaha pelancongan tetapi dalam masa yang sama ia juga menyebabkan berlaku masalah lalu lintas yang teruk di seluruh bandar.

Banyak teksi dan van penumpang dilihat berada di sekitar jeti Swettenham dan menyebabkan kesesakan jalan raya di kawasan ini apabila kapal Mariner of the Seas dengan 15 dek berlabuh di bangunan tepi pantai itu pada pukul 8 pagi hingga 5 petang Isnin.

Kapal itu menghantar seramai 3,662 penumpang dan 1,235 anak kapal manakala sebuah lagi kapal, Costa Victoria yang berlabuh dari pukul 7 pagi hingga 2 petang membawa 915 penumpang dan 760 anak kapal.

Tidak lama selepas Costa Victoria meneruskan pelayaran, kapal Superstar Gemini pula tiba dari pukul 4 petang hingga tengah malam dan menghantar seramai 1,479 penumpang dan 1,063 anak kapal yang keluar untuk melakukan lawatan singkat di sekitar pulau.

Ketiga-tiga kapal ini datang dari Singapura. Mariner of the Seas dan Costa Victoria menuju ke Phuket dan Superstar Gemini ke Langkawi.

Penolong Pengurus Penang Global Tourism  Jason Sim berkata ini adalah kali pertama menyaksikan tiga buah kapal persiaran berlabuh di pulau itu pada hari yang sama.

"Pada Julai, kapal Superstar Libra meninggalkan Pulau Pinang dan menjadikan Xiamen sebagai pelabuhannya. Tetapi kekosongan itu telah menyaksikan pelabuhan dibuka untuk kemasukan lebih banyak kapal secara serentak," katanya.


Pada Sabtu, Sapphire Princess dari pelabuhannya di Singapura juga telah menurunkan seramai 2,973 penumpang dan 1,086 anak kapal dari pukul 3 petang hingga 9 malam.

Antara mereka yang menyedari kebanjiran pelancong ini adalah jurukamera 'drone' KY Chew dari Se Vena Networks Sdn Bhd.

Chew melancarkan kamera drone miliknya dan merakamkan gambar Mariner of the Seas dan Superstar Gemini yang berlabuh bersama-sama pada pukul 4.30 petang Isnin.


"Saya menghantar drone pada ketinggian 375m di atas paras laut untuk merakamkan gambar itu. Dari udara, ia menjadikan pemandangan di pulau ini lebih cantik! Tetapi kesesakan trafik dalam bandar sangat dahsyat.

"Pelancong berpusu-pusu keluar dari jeti dan pemandu teksi serta van cuba untuk mendapatkan perhatian mereka dengan menawarkan tempat-tempat menarik untuk dilawati.

"Pulau Pinang memerlukan pengurusan trafik dan infrastruktur yang lebih baik jika ingin menjadi destinasi kapal persiaran," kata beliau selepas menyumbang foto udaranya kepada The Star.

Ketika dihubungi, Pengerusi Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang Ch'ng Huck Theng berkata Pulau Pinang terkenal di dunia, 'tetapi negeri ini perlu bersedia untuk peningkatan jumlah pelancong yang datang melalui laut dan udara'.
kapal persiaran, drone, KY Chew

Artikel Berikut

Artikel Lain