suria

Sektor Swasta Main Peranan Penting Dalam Strategi Pertumbuhan Hijau - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (dua, kiri) menyerahkan anugerah 'Environmental Journalism' kepada Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Zakaria Abd Wahab (kanan) pada majlis penyampaian Anugerah Hibiscus Perdana Menteri (PMHA) 2014/2015 pada malam Isnin. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Masyarakat perniagaan digesa bekerjasama secara kolektif dengan kerajaan bagi melaksanakan strategi pertumbuhan hijau ke arah memulihara alam sekitar.

Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sektor swasta sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi harus menerajui dalam menggunapakai teknologi canggih untuk pembangunan lestari.

"Melalui sokongan sektor swasta, saya yakin bahawa kita boleh mencapai kemajuan yang bermakna," kata beliau.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri (PMHA) 2014/2015 di sini, malam Isnin.

Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata pembangunan mampan tidak lagi menjadi pilihan atau mungkin sebagai alternatif tetapi ia adalah isu keutamaan global, yang memerlukan tindakan segera oleh semua negara demi kebaikan bersama dan masa depan.

"Sejak dua minggu lalu, semua perhatian tertumpu kepada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Paris.

"Pada persidangan itu, Malaysia antara 190 negara berikrar untuk mengurangkan sebanyak 45 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata anugerah ini boleh memainkan peranan penting untuk menggalakkan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tampil ke depan untuk menimba pendedahan yang lebih besar dan belajar daripada peneraju bidang mengenai amalan kelestarian terbaik.

Acidchem International Sdn Bhd dan Nanyang Siang Pau meraih hadiah utama bagi Anugerah Bunga Raya Hibiscus Perdana Menteri 2014/2015.

Ia satu-satunya syarikat yang dipilih untuk Pencapaian Cemerlang selepas jarak masa 10 tahun dan hanya kelima pernah mencapai kecemerlangan itu dalam sejarah anugerah tersebut.

Sementara itu, Nanyang Siang Pau memenangi Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar melalui siri berwawasan bertajuk 'Fighting a Water War' yang dipilih daripada 18 penyertaan daripada sembilan pertubuhan media cetak.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan The New Straits Times menerima penghargaan kerana liputan yang berkesan, masing-masing mengenai kemusnahan hutan di Cameron Highlands dan banjir buruk yang melanda Kelantan.

Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab, turut hadir untuk menerima penghargaan tersebut.

Para hakim untuk anugerah media itui terdiri daripada Pengerusi Penganjur  PMHA, Tan Sri Mustafa Mansur, Pengasas dan Penasihat PHMA, Datuk Kok Wee Kiat, kolumnis dan bekas ketua pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang dan Pengurus Besar Kanan Standards Research and Management, Abdul Aziz Long. - BERNAMA


Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain