suria

Laluan Baharu Ke Puncak Kinabalu Temui Spesis Flora Endemik

Kerja-kerja translokasi orkid endemik sedang dilakukan oleh petugas Taman-Taman Sabah.

PETALING JAYA: Kerja-kerja pembinaan laluan baharu ke puncak Gunung Kinabalu yang giat dijalankan baru-baru ini membawa kepada penemuan beberapa spesis endemik flora termasuk orkid.

Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Taman-Taman Sabah, Rimi Repin berkata, memandangkan semua spesis tumbuhan yang ada di puncak tertinggi di Asia ini dianggap unik dan istimewa, spesis endemik yang ditemui ini perlu dialihkan dari laluan yang sedang dibina itu.

“Sepanjang kerja-kerja pembinaan dijalankan kami banyak menemui spesis endemik. Spesis endemik adalah tumbuhan yang hanya terdapat di kawasan tersebut, iaitu pada aras ketinggian tertentu Gunung Kinabalu sahaja.

“Disebabkan ia tidak terdapat di mana-mana di dunia dan kebanyakan tumbuhan sama ada dalam bentuk pokok atau batang mencecah usia ratusan tahun, semua spesis di sini termasuklah spesis endemik yang ditemui dianggap unik dan istimewa,” katanya kepada mStar Online.

Menurut Rimi, spesis endemik itu ditemui di denai baharu di KM6.5 Gunung Kinabalu dan dialihkan menggunakan kaedah translokasi bagi mengurangkan kehilangan spesis flora dan fauna. 

Pada masa sama, katanya, jumlah dan nama setiap spesis juga direkodkan melalui aktiviti yang dinamakan 'inventori dan translokasi'.

“Kita perlu mengalihkan tumbuhan ke tempat di luar dari laluan namun pada persekitaran (habitat) yang sama.

“Kesukaran melaksanakan proses itu lebih kepada aspek ketinggian, cuaca yang terlalu sejuk dan hujan yang tidak menentu.

“Kerosakan kecil pasti berlaku, namun usaha mengadakan aktiviti inventori dan translokasi adalah kaedah yang terbaik untuk mengurangkan kehilangan spesis flora dan fauna,” katanya.

Beliau berkata, empat spesis orkid endemik telah direkodkan iaitu Dendrochilum Grandiflorum, Coelogyne Papillosa, Ascideria Grandis dan Euphrasia Borneensis.

"Orkid D. Grandiflorum adalah yang paling banyak dialihkan iaitu 7,743 yang dibuat pada fasa kedua dari 28 September hingga 1 Oktober lalu," jelasnya.

Selain orkid, terdapat rekod baharu untuk pokok Rhododendron Abietifolium, serta tumbuhan endemik lain seperti R. Ericoides, R. Buxifolium dan Leptospermum Recurvum.

"Kita tidak menolak penemuan lebih banyak spesis flora dan fauna unik  atau spesis baharu di keseluruhan kawasan Taman Kinabalu berkeluasan 754 km persegi ini pada masa akan datang," katanya.

Rimi berkata kerja-kerja translokasi dilakukan dalam tiga fasa dengan 15,804 individu orkid terlibat secara keseluruhan yang dilakukan kakitangan Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Unit Botani Taman-Taman Sabah.

Pada masa sama, beliau menasihatkan pendaki supaya mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Pendakian adalah aktiviti lasak sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Diharapkan semua pendaki menyedari akan hakikat bahawa setiap orang mempunyai tanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Artikel Lain