suria

Kerajaan Terus Komited Banteras Rasuah

KUALA LUMPUR: Penerbitan kontrak rundingan terus secara online merupakan antara inisiatif dan komitmen kerajaan untuk membasmi gejala rasuah, demikian menurut laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP)2013. 

Bermula Disember tahun lepas, Kementerian Kewangan dikehendaki menyiarkan kesemua kontrak rundingan terus kecuali kontrak keselamatan dan strategi di portal MyProcurement.

Portal itu diwujudkan sebagai satu laman sehenti yang akan memberikan gambaran keseluruhan dengan menyiarkan semua tender kerajaan dan bidaan yang berjaya untuk terus menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan kerajaan.
 
Setakat ini, 50 urus niaga kerajaan yang dirunding secara terus disiarkan dalam talian, hasil kerjasama berterusan Kementerian Kewangan, menurut laporan itu.

Portal itu merupakan hasil inisiatif 'Membanteras Rasuah' di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menerusi GTP, bertujuan untuk memastikan keseragaman dalam penyebaran maklumat berkaitan perolehan kerajaan.

Menurut laporan itu, penerbitan kontrak rundingan terus ini akan membantu memastikan Kementerian Kewangan melantik vendor dengan harga yang kompetitif berdasarkan merit dan keupayaan vendor tersebut.

Nyata, insiatif portal MyProcurement membawa pencapaian seratus peratus serta memberi kesan yang ketara dalam menghapuskan jenayah rasuah.

Sebagai langkah ke hadapan, kerajaan kini sedang menggubal garis panduan yang akan menyediakan nasihat bagi orang tengah dan pelobi ketika mereka berurusan dengan kerajaan, dan dijangka siap tahun ini.

Laporan itu turut menyatakan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International bertambah baik apabila meningkat satu lagi tahap daripada kedudukan 54 kepada kedudukan 53.

Ini membuktikan usaha-usaha yang dilaksanakan seperti transformasi proses laporan Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
untuk membanteras amalan rasuah membuahkan hasil.

Oleh kerana amalan rasuah tetap menjadi fokus berterusan, kerajaan memutuskan Laporan Ketua Audit Negara akan dibentangkan setiap kali Parlimen bersidang dan bukannya setahun sekali.

Ia bertujuan bagi membolehkan penelitian rapi dilakukan terhadap penyelewengan dana dalam kerajaan.

Selain itu, kerajaan juga menubuhkan papan kemuka Ketua Audit Negara secara dalam talian bagi memantau tindakan yang diambil terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh laporan Ketua Audit. 

Menurut laporan itu, ia bertujuan untuk menggalakkan ketelusan, dan memberi tekanan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk bertindak ke atas isu-isu tertunggak. 

Papan pemuka ini menjadikan proses laporan semakin telus dan meyakinkan orang ramai bahawa kes-kes yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara tidak diabaikan.

Satu Jawatankuasa Tindakan diwujudkan untuk meneliti dengan rapi isu-isu dan kes-kes tertentu bagi memudahkan siasatan serta mempercepatkan perkongsian maklumat supaya keputusan kes akan dicapai dengan lebih cepat dan muktamad.

Sebagai langkah meningkatkan kesedaran dan mendidik orang muda sejak awal usia pembentukan mereka, kerajaan mengambil langkah memasukkan pendidikan pencegahan rasuah dalam buku teks sekolah rendah dan menengah, yang akan siap untuk sesi persekolahan tahun 2016.

Sebanyak 27 Sekretariat Pencegahan Rasuah di Maktab Perguruan ditubuhkan bagi memastikan guru-guru mendapat latihan yang baik untuk mengajar nilai-nilai pencegahan rasuah kepada pelajar sekolah. 

Menurut laporan itu, latihan antirasuah oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bagi semua Anggota Parlimen sebagai sebahagian daripada usaha pendidikan dan kesedaran baharu.

Sejak awal tahun lepas, Pegawai Khas Menteri diwajibkan untuk mengisytihar aset masing-masing kepada Menteri yang berkenaan dan kepada Ketua Setiausaha Kerajaan, merupakan inisiatif kerajaan yang lebih telus dan bertanggungjawab pada setiap peringkat perkhidmatan awam.

Pencapaian besar pada 2013 dalam memerangi rasuah selepas mahkamah khas rasuah diwujudkan, kadar sabitan kes-kes rasuah melebihi sasaran pencapaian yang ditetapkan (pada 80 peratus) dan mencapai 105.13 peratus. 

GTP, rasuah

Artikel Lain