suria

GTP: KPI Menteri Tunjuk Peningkatan

KUALA LUMPUR: Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) keseluruhan menteri yang terbabit dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) menunjukkan peningkatan bagi tempoh 2011 sehingga 2013.

Menurut Laporan Tahunan GTP 2013 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, pada 2011 sebanyak 83.6 peratus daripada 660 KPI berjaya mencapai sasaran, dan meningkat sebanyak 2.9 peratus daripada 86.5 peratus pada 2012 kepada 87.4 peratus pada 2013.

Semua 30 menteri kabinet diberikan KPI kementerian yang spesifik di bawah skop masing-masing merangkumi Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA) dan penentuan KPI itu berdasarkan lima rangka kerja antaranya melaksanakan aktiviti mengikut pelan pelaksanaan, pemantauan prestasi KPI, penilaian prestasi Perdana Menteri-Menteri dan ganjaran akibat serta tindakan.
 
"Dengan menggunakan rangka kerja tersebut, KPI ditetapkan mengikut GTP (Pelan Hala Tuju ETP dan GTP) dan juga visi serta misi kementerian masing-masing dengan tujuan mengukuh hasil penyampaian setiap inisiatif," menurut laporan itu.

Laporan itu turut menyebut pencapaian prestasi semua KPI di bawah Kad Skor Menteri yang dilaporkan setiap bulan sebagai tambahan kepada laporan mingguan di bawah program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) yang memastikan halangan boleh dikenal pasti serta diselesaikan seberapa segera.

Antara kejayaan MKRA ialah usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar Negeri yang membawa impak positif kepada negara dan rakyat sepanjang 2013.

Usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan adalah untuk meningkatkan bilangan pelancong ke Malaysia dan perbelanjaan wang dalam negeri melalui pertukaran wang asing, membuahkan hasil apabila industri itu menyumbang RM51.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
 
"Ini merupakan hasil pencapaian cemerlang yang melebihi jangkaan bagi tahun 2013, dengan jumlah pendapatan pelancongan sebanyak RM65.44 bilion melebihi sasaran awal RM65 bilion.
 
"Pertumbuhan 8.1 peratus daripada RM60.56 bilion pada 2012 merupakan peningkatan nilai pendapatan sebanyak RM4.89 bilion daripada pertukaran wang asing. Walaupun menghadapi tahun yang mencabar, ketibaan pelancong turut meningkat 2.7 peratus kepada 25.7 juta ketibaan berbanding 25 juta ketibaan pada 2012," menurut laporan itu.

Program homestay pula menjana pendapatan pelancongan sekitar RM21.5 juta bagi ekonomi luar bandar pada tahun lepas, dengan penyertaan 350,954 pelancong berbanding 325,258 pelancong pada 2012.

Sementara itu, jumlah hasil cukai pada 2013 mencatatkan peningkatan RM4.3 bilion daripada kutipan pada 2012 sebanyak RM151.6 bilion, hasil inisiatif Kementerian Kewangan.
 
"Ekonomi Malaysia telah mencapai pertumbuhan pada kadar 4.7 peratus berbanding unjuran peningkatan antara 4.5 peratus dan lima peratus. Peratusan hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar adalah sebanyak 15.8 peratus pada 2013," menurut laporan itu.

Dalam pada itu, peranan utama Kementerian Luar Negeri dalam memastikan kepentingan negara dilindungi dan dipertahankan di peringkat antarabangsa direalisasikan melalui galakan terhadap Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) serta melobi pencalonan Malaysia dalam pertubuhan serantau dan global.
 
"Bukti jelas terhadap kejayaan Malaysia dalam usaha menggalakkan GMM di peringkat antarabangsa adalah penerimaan yang meluas konsep ini oleh negara lain termasuk Amerika Syarikat, Rusia, China dan Korea Selatan sehingga Malaysia kini semakin dikenali sebagai sebuah negara sederhana yang stabil, selamat dan aman.
 
"Pada 2013 juga Malaysia juga telah berjaya dilantik untuk jawatan dan keahlian di pelbagai pertubuhan antarabangsa antaranya pengerusi Platform Dasar Sains Antara Kerajaan untuk Biodiversiti dan Perkhidmatan Ekosistem 2013-2015, ahli Majlis Pertubuhan Makanan dan Pertanian 2014-2017 dan ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa kategori C 2014-2015," menurut laporan itu.

GTP, KPI

Artikel Lain