suria

ETP Letak Malaysia Pada Kedudukan Baik Capai Status Negara Maju Sebelum 2020

KUALA LUMPUR: Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah memberikan manfaat yang meluas kepada negara termasuk meningkatkan pelaburan dan pendapatan per kapita dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang baik untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi lebih awal daripada tahun 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata ETP yang dimulakan pada 2010 telah memacu momentum yang berterusan dalam sektor swasta sekaligus membantu melonjakkan pendapatan negara kasar per kapita (PNK) kepada US$10,060 pada 2013 daripada US$7,059 pada 2009.

Selain itu, kata beliau antara pencapaian tahun 2013 adalah kejayaan InvestKL, yang berjaya menarik 15 syarikat multinasional dari Amerika Utara, Eropah dan Asia untuk menubuhkan pejabat serantau di sini.
 
"Malah, beberapa petunjuk memberikan gambaran bahawa sekiranya tidak ada aral melintang, kita mampu mencapai cita-cita ini lebih awal daripada yabg dijangkakan," katanya ketika melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan ETP di sini hari ini.

Beliau berkata ETP yang menggabungkan dua komponen, iaitu 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) menyasarkan untuk melonjakkan PNK kepada US$15,000, mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan baharu dan menarik pelaburan berjumlah US$444 bilion menjelang tahun 2020.

Perdana menteri turut merakamkan penghargaan kepada sektor swasta yang telah memberikan kerjasama dalam perjalanan transformasi negara.

Beliau berkata ETP yang digubal sebagai tindak balas negara kepada perubahan iklim ekonomi dunia memberikan petunjuk jelas bahawa daya tahan ekonomi Malaysia telah dipacu oleh pelaburan sektor swasta, yang kini mencecah 61 peratus daripada jumlah pelaburan.

Negara juga, kata beliau, telah menikmati arus berterusan pelaburan dalam tempoh tiga tahun lepas, di mana peningkatan yang kukuh dalam pelaburan swasta telah meningkat 15.3 peratus bagi tempoh antara 2010 hingga 2013 berbanding 4.7 peratus antara 2008 hingga 2010.

Katanya lagi pertumbuhan berkenaan bersamaan tiga kali ganda peningkatan Kadar Pertumbuhan Purata Tahunan.

Perdana menteri berkata GTP dan ETP telah bergerak dalam satu sinergi untuk mendaya dan mengubah Malaysia menjadi negara dengan status berpendapatan tinggi sejajar dengan Dasar Transformasi Nasional. 

Beliau berkata Dasar Transformasi Nasional berobjektif untuk memastikan bahawa pertumbuhan yang dicapai adalah seimbang, inklusif dan mampan melangkaui tahun 2020.

Perdana menteri turut mengulas mengenai beberapa projek di bawah NKEA antaranya Greater KL/ Klang Valley dan Minyak, Gas dan Tenaga.

Bagi NKEA Greater KL/ Klang Valley, beliau optimis bahawa projek pembinaan projek Mass Rapid Transit (MRT) yang telah mencapai tahap 35 peratus pembinaan akan beroperasi mengikut jadual iaitu Disember 2016 bagi fasa pertama dari Sungai Buloh-Kajang dan Julai 2017 bagi fasa kedua dari Semantan ke Kajang.

Beliau meminta agar rakyat bersabar dengan ketidakselesaan dan kesulitan yang timbul kerana ia bersifat sementara.
 
"Kesabaran saudara dan saudari akan berbaloi jua apabila projek bertaraf dunia ini siap kelak," kata beliau.

Sementara itu, bagi NKEA Minyak, Gas dan Tenaga, perdana menteri memuji inisiatif yang dijalankan di bawah NKEA berkenaan antaranya Terminal Pengegasan Semula Cecair Gas Asli dan Projek Permulaan Pemerolehan Minyak Tertingkat.

Beliau berkata Terminal Pengegasan Semula Cecair Gas Asli Petronas Sungai Udang, Melaka adalah inisiatif jangka panjang bagi memelihara keselamatan bekalan gas domestik.

Najib berkata inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan peningkatan bekalan gas masa depan di Malaysia dengan melengkapi bekalan gas domestik dengan LNG diimport.

Terminal berkenaan, katanya direka bentuk bagi menerima, menyimpan dan mengegas sehingga 530 juta standard kaki padu sehari.

Beliau berkata LNG diimport adalah lebih daripada satu perempat daripada bekalan tempatan semasa berjumlah 2,000 juta standard kaki padu sehari dari luar pesisir Terengganu.
 
"Terminal ini telah pun menerima kargo pertamanya pada April 2013. Terminal ini mula beroperasi pada Mei 2013 dan telah berjaya mensalurkan LNG buat pertama kalinya ke dalam saluran paip gas Malaysia," kata beliau.

Perdana Menteri berkata bagi Projek Permulaan Pemerolehan Minyak Dipertingkat (EOR), antara pencapaian utama NKEA berkenaan adalah melalui Petronas Carigali Sdn Bhd dengan siapnya pembinaan pelantar pemprosesan pusat pada suku pertama 2014.

Beliau berkata projek berkenaan bertujuan untuk merangsang pengeluaran dari 5,000 tong sehari ke 25,000 hingga 35,000 menjelang 2017.

Pada masa hadapan, kata beliau Petronas akan terus meneroka peluang EOR di kawasan-kawasan yang sesuai di luar pantai Malaysia yang mana syarikat minyak nasional itu telah pun mengenal pasti 14 medan minyak yang berpotensi iaitu lima kawasan di Sarawak, empat di Sabah dan bakinya di Semenanjung Malaysia.

Melalui 14 medan minyak ini, kata beliau, Petronas dijangka akan mengekstrak sejumlah 750 juta sehingga 1 bilion tong minyak.

Perdana Menteri berkata bagi menggalakkan pembangunan telaga-telaga kecil pula, Petronas telah memperkenalkan terma baharu bagi Kontrak Pengkongsian Pengeluaran (PSC).
 
"Antara yang dibanggakan adalah Medan Berantai yang telah memulakan pengeluaran pada 2012 telah mencapai peningkatan anggaran gas sebanyak 15 peratus berbanding 2011," tambahnya. 

ETP, Wawasan 2020

Artikel Lain