suria

Tiba Masanya Kerajaan Perkenal Akta Bendung Pelampau Kaum - Ronald

Ronald Kiandee.
TELUPID: Kini masanya bagi kerajaan mempertimbang memperkenalkan akta bagi membendung pelampau kaum, kata anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee. 

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini akan tergugat jika tiada usaha dan tindakan lebih konkrit untuk membendung pelampau ini. 

"Walaupun dilakukan oleh segelintar rakyat namun ianya jika berlarutan akan mengancam perpaduan kaum yang telah dibina sejak sekian lama," katanya pada Majlis Sambutan Pesta Kaamatan Daerah Telupid di sini, Isnin.

Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. 

Ronald berkata akta untuk menangani hubungan kaum ini telah dikuatkuasakan di beberapa negara termasuk United Kingdom (UK) dan Australia. 

Katanya, di UK ia dikenali sebagai Akta Hubungan Kaum dan di Australia terdapat dua akta iaitu Akta Diskriminasi Kaum dan Akta Penghinaan bersifat perkauman. 

Menurutnya negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia menuntut rakyatnya bertolarensi dan saling hormat-menghormati antara kaum. 
 
"Sebenarnya inilah asas perpaduan yang wujud sejak sekian lama dan harus dikekal serta diperkukuhkan," katanya. 
 
"Kita tidak harus bertoleransi jika sesiapa cuba memusnahkan perpaduan yang telah dicapai," kata Ronald. 

Beliau berkata di Sabah, sambutan Kaamatan merupakan antara acara kebudayaan yang telah membantu mengeratkan pelbagai kaum dan agama. 

Katanya, Malaysia akan terus aman jika rakyat di semua negeri menghayati perpaduan dan toleransi kaum seperti berlaku di Sabah. 


Akta Bendung Pelampau Kaum

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain