suria

Abd Razif Dilantik MB Terengganu Baharu

Razif Abdul Rahman.
KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata pelantikan Ahmad Razif bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said itu telah diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abdidin.
 
"Adalah dimaklumkan bahawa Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin telah memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu berkuat kuasa 12 Mei 2014.
 
"Baginda telah memperkenankan pelantikan Adun Seberang Takir Ahmad Razif sebagai Menteri Besar Terengganu berkuat kuasa mulai tarikh Yang Berhormat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah rahsia di hadapan baginda," katanya.

Najib berkata pelantikan itu adalah selaras dengan Syarat (1) Perkara 10 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dibaca bersama-sama perenggan (a) di bawah Syarat (2) Perkara 14.

Ahmad pertama kali dilantik sebagai menteri besar pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas.

Artikel Lain