suria

TH Serah Sijil Badal Haji Kepada Perwira Lahad Datu

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menyerahkan sijil Badal Haji kepada perwira yang terkorban semasa mempertahankan kedaulatan negara dalam Ops Daulat di Lahad Datu dan Semporna, Sabah tahun lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail menyerahkan sijil berkenaan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman di sini, Selasa.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Tabung Haji Anis Zuhani Ahmad.

"Pelaksanaan badal haji ini adalah usaha Tabung Haji untuk menghargai jasa wira-wira negara dalam meringankan beban keluarga mereka untuk melaksanakan badal haji," katanya dalam kenyataan di sini.

Tabung Haji melaksanakan badal haji untuk enam pegawai polis dan seorang tentera sebagai tanda menghargai pengorbanan besar mereka mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman musuh.

Tahun lepas, katanya Tabung Haji memberi sumbangan sebanyak RM109,500 kepada Tabung Wira Lahad Datu untuk disalurkan kepada keluarga anggota keselamatan yang terlibat bagi meringankan beban mereka.

Dalam insiden itu, lapan anggota polis dan dua anggota tentera terkorban di Kampung Tanduo dan di Semporna akibat diserang pengganas pada 1 dan 2 Mac tahun lepas.

Gerakan ofensif pihak keselamatan negara menyaksikan 68 pengganas ditembak mati dan 173 orang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 443 lagi atas pelbagai kesalahan lain. BERNAMA

Artikel Lain