suria

Pembinaan KLIA2 Hampir Siap 100 Peratus - Aziz Kaprawi

Abdul Aziz menunjukkan gambar KLIA2 yang hampir siap sepenuhnya untuk dibuka kepada umum.
Abdul Aziz menunjukkan gambar KLIA2 yang hampir siap sepenuhnya untuk dibuka kepada umum.

BATU PAHAT: Kerja-kerja pembinaan KLIA2 di Sepang kini hampir 100 peratus siap dan kerajaan yakin terminal penerbangan tambang rendah terbesar di Asia itu akan dapat dibuka mengikut jadual pada 2 Mei depan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, pada dasarnya bangunan terminal telahpun siap dan kini sedang dalam usaha mendapatkan sijil keselamatan kebakaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Kita masih tetap dengan 2 Mei (pembukaan) dan kita yakin ia akan tepat pada masa. Pada dasarnya bangunan terminal sudah siap, cuma ada sedikit masalah dengan keselamatan kebakaran. Kita belum dapat sijil daripada Bomba itu sahaja.

"Tetapi ujian percubaan Kesediaan Operasi Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT) sedang berjalan dan kita menjangka tidak akan menghadapi banyak masalah," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di sini, Ahad.

Mengenai kos pembinaan KLIA2, beliau berkata, ia masih belum dimuktamadkan ketika ini, tetapi menjelaskan pembinaan lapangan terbang itu merupakan inisiatif syarikat swasta oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

"Ia dibangunkan secara swasta oleh MAHB dan mereka telah mengeluarkan pembiayaan mereka sendiri menerusi (penerbitan) Sukuk. Isu kos tidak perlu risau, kerana ia tidak melibatkan duit rakyat," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan caj lapangan terbang di KLIA2 akan dinaikkan bagi menampung kos pembinaan lapangan terbang itu, Abdul Aziz yang juga mengetuai jawatankuasa bertindak tentang KLIA2 di Kementerian Pengangkutan berkata, ia mesti mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menurutnya, garis Panduan itu hanya dikaji semula setiap 10 tahun.

Beliau juga mendedahkan bahawa kecanggihan KLIA2 telah menarik minat operasi beberapa syarikat penerbangan premium, tetapi menegaskan ketika ini lapangan terbang itu khusus untuk syarikat penerbangan tambang rendah sahaja.

"Keutamaannya adalah pada syarikat penerbangan tambang rendah," katanya sambil menambah, KLIA2 bakal menjadi "Airport In The Mall" yang pertama kerana ia turut menyediakan kemudahan membeli-belah yang lengkap.

Abdul Aziz berkata, tender ruang niaga di KLIA2 mendapat sambutan amat menggalakkan daripada peniaga dalam dan luar negara yang berminat menyewa ruang perniagaan di lapangan terbang tambang rendah itu.

Menurutnya, ada dalam kalangan peniaga yang sanggup menawarkan harga yang amat tinggi sehingga RM80 bagi satu kaki persegi ruang niaga di KlIA2, berbanding RM40 satu kaki persegi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

"Kesediaan peniaga untuk menawarkan harga yang tinggi untuk ruang niaga KLIA2 itu turut mengejutkan MAHB," katanya dan menambah, KLIA2 juga akan dilengkapkan dengan kemudahan hotel. BERNAMA

Artikel Lain