suria

Wujud Jabatan Khas Tangani Isu Kesihatan Mental Di Tempat Kerja - NIOSH

MELAKA: Kementerian Kesihatan disaran mewujudkan jabatan khas bagi menangani isu kesihatan mental di tempat kerja sebagai usaha menyediakan lebih banyak kemudahan dan keselesaaan kepada pekerja di negara ini.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata pada masa ini, kementerian itu hanya mempunyai unit bagi menangani isu mental di tempat kerja.

"Penubuhan jabatan ini penting kerana pengabaian masalah kesihatan mental dan faktor psiko sosial di tempat kerja bukan sahaja merugikan pekerja berkenaan malah memberi kesan terhadap produktiviti, kecekapan dan pengeluaran sesebuah organisasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Mengenai Kesihatan Mental di Tempat Kerja di sini, Selasa.

Pada masa sama, NIOSH meminta pihak universiti di negara ini supaya melahirkan lebih ramai pakar psikologi kerana negara masih kekurangan tenaga mahir berkenaan.

Sehingga kini, katanya terdapat kira-kira 100 pakar psikologi di negara ini dengan 10 daripadanya berkhidmat di hospital kerajaan manakala selebihnya di sektor swasta.

Sementara itu, Lee menggesa kerajaan supaya mempercepat langkah memperkenal garis panduan berhubung pengurusan kesihatan mental di tempat kerja bagi mewujudkan persekitaran pekerjaan yang lebih sihat.

"Saya difahamkan perkara ini telah diberi perhatian oleh Kementerian Kesihatan, namun berharap ia dapat disegerakan memandangkan isu ini semakin hari semakin serius terutama dalam kalangan pekerja," katanya.

Dengan adanya garis panduan itu, katanya majikan dan pekerja dapat mencari kaedah terbaik dalam mengurangkan risiko masalah kesihatan mental di tempat kerja. - BERNAMA

Artikel Lain