suria

Beri Laluan Kepada Kes Kecemasan Sebenar

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang mendapatkan rawatan di bilik kecemasan hospital kerajaan melihatnya sebagai sebuah pusat sehenti yang murah untuk merawat penyakit-penyakit kecil, menyebabkan berlakunya kesesakan dan pesakit dengan penyakit atau mengalami kecederaan serius perlu bersaing bagi mendapatkan rawatan.

Daripada lebih 2.3 juta pesakit yang mendapatkan rawatan di unit kecemasan yang juga dikenali sebagai jabatan kecemasan dan trauma dalam tempoh enam bulan pertama tahun lepas, lebih daripada 70 peratus atau 1.6 juta kes adalah kes yang tidak kritikal.

Bilangan ini hampir 19 kali ganda melebihi jumlah kes kritikal (85,893 ) dan kira-kira 2.7 kali ganda melebihi daripada kes-kes separa kritikal (601,483).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S. Jeyaindran berkata jumlah yang tinggi daripada pesakit tidak kritikal yang mendapatkan rawatan di unit kecemasan meletakkan tekanan ke atas sistem kesihatan awam yang mengenakan bayaran RM1 untuk setiap pesakit.

"Kes yang tidak mengancam nyawa, seperti digigit anjing, menyumbang kira -kira 70 peratus daripada pesakit di unit kecemasan," katanya.

Menurut statistik kementerian, sejumlah 2,301,355 pesakit dirawat di unit kecemasan di seluruh negara dari Januari hingga Jun tahun lepas.

Ini menyumbang kepada purata 125,785 pesakit dirawat di jabatan kecemasan setiap malam di 144 hospital awam di seluruh negara.

"Bilangan pesakit di jabatan kecemasan telah meningkat dengan hospital seperti Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang memperlihatkan peningkatan kes antara 15 dan 20 peratus dalam tempoh dua tahun lepas," katanya.

Dr Jeyaindran menjelaskan bahawa pesakit di jabatan kecemasan dikategorikan sebagai merah (kecemasan), kuning (segera) atau hijau (tidak mengancam nyawa).

Beliau memberi amaran bahawa 'kes merah' boleh membawa kepada kematian jika tidak ada campur tangan segera dan termasuk pesakit dengan penyakit kardiovaskular, jangkitan dan keadaan pernafasan yang teruk serta trauma.

Beliau berkata 'kes kuning' adalah bukan kecemasan seperti anggota badan yang cedera yang memerlukan rawatan dalam masa beberapa jam, manakala kes hijau adalah penyakit yang tidak kritikal.

Untuk menangani peningkatan kes di jabatan kecemasan, kementerian sedang mengkaji cadangan melanjutkan waktu klinik kerajaan secara kekal dengan mendapatkan doktor untuk bekerja syif.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain