suria

Lahad Datu: Bertembung Dengan Penceroboh Bukan Langkah Bijak - Saksi

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat diberitahu bertembung dengan penceroboh dalam serangan di Kampung Tanduo, Lahad Datu semasa operasi tinjau rapat pada 1 Mac tahun lepas bukan merupakan langkah bijak untuk dilakukan oleh anggota komando VAT69.

Semasa ditanya oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sama ada adakah bijak untuk berbuat demikian berdasarkan pengalamannya dan melihat kepada situasi semasa menjalankan operasi di kampung itu, DSP Hakemal Hawari menjawab: Tidak.

Hakemal, yang mengetuai satu daripada lima pasukan untuk menjalankan tinjau rapat di sektor A di Kampung Tanduo, menjelaskan menjalankan operasi merupakan satu-satunya arahan diberikan Komander Operasi Taktikal Datuk Abdul Rashid Harun.

"Kami tidak membuat membuat persiapan untuk bertembung dengan penceroboh," katanya.

Abdul Gani: Adakah Datuk Abdul Rashid katakan secara spesifik syarat pertembungan sekiranya anda bertemu dengan penceroboh?

Hakemal: Ya.

Abdul Gani: Apakah syaratnya?

Hakemal: Kami diarahkan untuk tidak bertembung dengan pihak penceroboh dengan melepaskan sebarang tembakan kecuali pihak kami diserang.

Hakemal, yang mengetuai 33 anggota dan pegawai termasuk dirinya memberitahu mahkamah bahawa pasukannya turut membawa alat pandang malam atau 'night vision goggles' dan alat pengimbas ringan atau 'thermal imagers' semasa mereka meninjau di kawasan ditetapkan di Kampung Tanduo pada kira-kira 1.30 pagi, 1 Mac.

Katanya kedua-dua alat itu penting dalam menjalankan operasi tinjau rapat pada waktu malam.

Terdahulu, Hakemal berkata beliau turut mengambil gambar-gambar kawasan Kampung Tanduo dari pelbagai sudut melalui udara dan laut pada 16 Februari tahun lepas.

Katanya beliau turut menjalankan tinjauan di Kampung Tanduo lima hari kemudiannya dengan Abdul Rashid, Komander Briged Pasukan Gerakan Am Sabah Datuk Ahmad Marzuki Mohd Saad dan beberapa pegawai dan anggota.

Sebanyak 30 tertuduh terdiri 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan dalam kes ini.

Mereka berdepan pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung, yang diadakan di Jabatan Penjara Sabah, bersambung 17 Februari. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain