suria

[V] Uqasha Senrose dakwa ada bukti video dan gambar jadi mangsa dera Kamal Adli, empat laporan polis pernah dibuat… “Mengandung pun dia boleh pukul saya”

PELAKON Uqasha Senrose tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang empat tahun berkahwin dengan Kamal Adli.

Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, berkata selama ini dia memilih untuk berdiam diri demi menjaga aib dan maruah suaminya, namun tekanan yang ditanggung memaksanya bersuara.

“Selama ini saya diam. Saya tak nak cakap benda betul. Saya cuba nak beritahu yang saya nak berpisah dengan cara baik sebab saya tak nak dedah benda betul. Saya nak jaga lagi air muka dia.

“Tapi dia pukul saya. Dia dera saya. Naik tangan, naik kaki, maki dan tengking saya. Daripada awal perkahwinan sampailah empat tahun ini.

Uqasha menunjukkan bukti kecederaan yang pernah dialami. 

“Selama empat tahun saya berkahwin dengan dia. Dia dera mental dan emosi saya. Mengandung pun dia boleh pukul saya lagi,” katanya kepada mStar dalam keadaan sebak dan menangis.

Uqasha memaklumkan perkara itu ketika ditemui selepas laporan JKP di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Khamis. 

Mengulas dakwaan tersebut, Uqasha mengesahkan dia mempunyai bukti kukuh termasuk gambar dan video berkaitan keganasan yang dialaminya, namun enggan mendedahkan kepada umum buat masa ini.

“Ada bukti. Saya ada gambar, saya ada video. Semua saya ada. Cuma saya tak nak benda ini jadi besar. Saya tak nak bagi tahu semua orang,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah nasihat Kamal Adli lafaz talak, Uqasha Senrose dedah pernah dikasari, dipukul dan pergaduhan tidak berhenti 

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak akan buat kenyataan bodoh” - Kamal Adli

Tambah pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu, punca keganasan dipercayai berpunca daripada sikap baran suaminya yang tidak boleh ditegur selain tidak mempunyai toleransi termasuk dalam soal penjagaan anak.

“Dia baran sampai saya takut. Tak boleh ditegur langsung. Dalam menjaga anak pun tak ada toleransi. Anak saya perempuan. Rumah pula macam rumah bujang. Kawan lelaki keluar masuk. Saya tak ada privasi dengan anak saya,” ujarnya.

Uqasha menegaskan tindakannya bersuara bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya demi keselamatan diri dan anaknya serta mahu menghentikan penderitaan yang telah lama dipendam.

Dia dera saya. Naik tangan, naik kaki, maki dan tengking saya

UQASHA SENROSE

PELAKON

Sementara itu, peguam sivil mewakili Uqasha iaitu Asheeq Ali Seth Alivi memaklumkan anak guammnya sudah membuat empat laporan polis berhubung dakwaan keganasan rumah tangga bermula awal Disember lalu.

“Arahan yang telah kami terima adalah kita akan teruskan untuk ambil tindakan yang sewajarnya melalui proses polis dan Mahkamah Sivil.

“Untuk pengetahuan pihak media, daripada pihak Uqasha, empat laporan polis telah difailkan. Tiga laporan difailkan oleh Uqasha dan satu oleh ibu Uqasha.

Uqasha nekad minta dilepaskan.

“Semua laporan melibatkan aduan daripada Uqasha bahawa dia telah didera dan dipukul.  Untuk seterusnya, kita biarkan pihak polis menjalankan siasatan,” ujarnya. 

Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 19 bulan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain