KECAMAN demi kecaman diterima poster filem Duyung: Legenda Aurora akhirnya terjawab apabila pengarahnya tampil menjelaskan kontroversi itu bukan kebetulan, sebaliknya dirancang sebagai gimik pemasaran.
Pengarahnya, Prof Madya Datuk Dr A Razak Mohaideen, 60, menjelaskan poster yang tular itu disengajakan sebagai gimik pemasaran bagi mencetuskan perbualan dalam kalangan penonton sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap filem tersebut.
"Poster itu memang gimik. Kami mahu penonton lebih peka dan beri perhatian. Kami mahu rakyat Malaysia menonton dan bercakap mengenai filem ini.
"Apabila poster seperti itu dikeluarkan, yang memuji mungkin seorang dua, tetapi yang mahu mengkritik memang ramai menunggu. Jadi, kami gunakan pendekatan psikologi songsang," katanya katanya ditemui pada sidang media dan tayangan perdana filem berkenaan di GSC Lalaport Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada malam Rabu.

Filem ini dibintangi Maya Karin, Anna Jobling dan Ayie Floor 88.
Menurut Razak, pihak penerbit sudah merancang untuk melancarkan poster baharu yang lebih memenuhi cita rasa dan jangkaan penonton.
"Daripada pihak penerbit, iaitu KRU Studios dan Primeworks Studios (PWS), memang sudah dimaklumkan bahawa poster baharu akan dikeluarkan. Jadi, yang tular itu hanya umpan atau gimik promosi.
"Dalam industri perfileman, tugas pengarah adalah menghasilkan filem. Poster dan teaser bukan dibuat oleh pengarah.
"Bagi mana-mana filem sekalipun, pengarah tidak terbabit dalam penghasilan poster kerana ia tanggungjawab bahagian pemasaran di bawah penerbit eksekutif. Namun, perkara ini sering disalah faham," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
ARTIKEL BERKAITAN:
Walaupun menerima pelbagai kritikan, Razak yang sudah berkecimpung dalam dunia pengarahan sejak 1997 menegaskan dirinya tidak mengambil hati terhadap pandangan negatif tersebut.
"Orang yang memahami bisnes perfileman tahu perkara ini. Di Hollywood atau Bollywood juga sama, ada pasukan pemasaran yang menguruskan aspek promosi.
"Saya memilih untuk berdiam diri kerana mereka yang berilmu akan faham maksud sebenar di sebalik strategi ini," katanya.
Sebelum ini, poster Duyung: Legenda Aurora menerima pelbagai kritikan negatif berkaitan rekaan grafik yang didakwa tidak memenuhi standard tertentu.

Majlis tayangan perdana filem Duyung: Legenda Aurora turut dimeriahkan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac.
Malah terdapat netizen yang mendakwa poster tersebut seperti direka oleh individu yang masih bersekolah.
"Budak sekolah mana lah dia hire ni! Orang tengok pun terus down macam ini.
"Ini bukan bajet rendah, tapi macam dah tiada bajet.
"Weh bayar je aku RM1 aku buatkan kalau macam ini," tulis beberapa netizen.
Selain keseluruhan poster, wajah teraju utama filem itu yang dilakonkan Anna Jobling turut dikritik apabila tona warna digunakan disifatkan suram dan kurang menyerlah.
Duyung: Legenda Aurora adalah sekuel kepada filem Duyung yang ditayangkan pada 2008, tampil dengan penceritaan lebih moden dan sentuhan visual lebih segar.
Dihasilkan KRU Studios bersama 8 Bit Studio dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, filem komedi fantasi itu dijadualkan menemui penonton pada 25 Disember ini.
Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon asal seperti Maya Karin, Saiful Apek, Yasmin Hani dan Yassin Yahya, selain dibantu pelakon baharu termasuk Anna Jobling dan Ayie Floor88.
Turut membuat penampilan khas ialah Datuk Yusry Abdul Halim serta kumpulan Zero yang dianggotai Syaiful, Sharif dan Atu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


