suria

Konsensus Nasional: Pembangkang Minta Kerajaan Beri Maklum Balas Segera

PETALING JAYA: Pakatan pembangkang meminta kerajaan memberi maklum balas segera berhubung cadangan untuk mengadakan Konsensus Nasional.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehingga kini, perjalanan ke arah Konsensus Nasional terlalu perlahan.

"Proses ini berjalan dengan perlahan walaupun ada sambutan dari Barisan Nasional (BN) tetapi tiada keputusan dilakukan untuk menyegerakan konsensus tersebut.

"Kita harap ia disegerakan apatah lagi, negara ini terus dilanda isu ketegangan kaum yang semakin meruncing," katanya di sini Khamis.

Menurut Saifuddin, Pakatan Rakyat tetap konsisten tentang cadangan tersebut bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan bebanan rakyat, ketegangan kaum dan soal ekonomi.

"Kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat dari PKR, PAS dan DAP telah pun menyatakan pendirian berhubung persetujuan konsensus ini. Kami juga berharap ia perlu disegerakan demi keharmonian seluruh rakyat negara ini," katanya.

Saifuddin berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai usaha untuk menyegerakan konsensus tersebut selain menghantar surat rasmi.

"Dalam konteks politik, kami tetap mahu ia dilakukan. Kita tak boleh bertepuk sebelah tangan sahaja. Ini proses berterusan dan perlu dilakukan dengan segera," katanya.

Artikel Sebelum

Zaid Mungkin Tanding Di Kajang

Artikel Lain