suria

Fahami Isu Sebelum Tulis Berita - Liow

KUALA LUMPUR: Pengamal media diminta supaya benar-benar memahami sesuatu isu apabila menulis berita supaya maklumat tepat dapat disampaikan kepada rakyat, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata MCA amat memerlukan media untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung program transformasi yang dilakukan parti itu di bawah barisan kepimpinan baharu parti yang dipilih Disember lepas.

"Politik dan media saling memerlukan. Kami memerlukan media sebagai penghubung yang efektif antara kami dengan rakyat dan juga untuk mendengar masalah yang dihadapi rakyat di kawasan yang diwakili," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam 2014 bagi meraikan petugas media anjuran parti itu di Wisma MCA di sini, Khamis malam.

Turut hadir Timbalan Presiden parti Datuk Dr Wee Ka Siong, Ketua Wanita Datuk Heng Seai Kie dan Ketua Pemuda Chong Sin Woon serta pemimpin parti.

Majlis juga diserikan dengan persembahan nyanyian, tarian dan persembahan alat muzik tradisional Cina 'Er Hu' daripada pengamal media pelbagai organisasi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Mungkin Tanding Di Kajang

Artikel Lain