suria

Seorang Maut, Seorang Parah Dihempap Lori Muatan Bilah Besi

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas kedua-duanya tersepit apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap lori membawa muatan bilah besi di susur Bulatan Lumba Kuda, Jalan Kuala Lumpur-Seremban, Selasa malam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, Mitsubishi Triton itu berada di sebelah kanan lori itu yang tiba-tiba senget dan menghempapnya.

"Pemandu pacuan empat roda berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 9 malam dan dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan. "Sementara penumpang kenderaan pacuan itu maut dan berjaya dikeluarkan pukul 2 pagi dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan menghilangkan diri selepas kemalangan itu berlaku, katanya.

Katanya pihak bomba dengan bantuan sebuah jentolak mengalihkan bilah besi yang bertaburan di atas jalan raya.

Sementara itu, jurucakap polis Trafik Kuala Lumpur ketika dihubungi mengesahkan mangsa yang maut dikenal pasti Mazlan Yahya, 33, berasal dari Kota Marudu, Sabah.

Penumpang yang cedera dikenal pasti Cosmas anak Renggi, 42, berasal dari Bintulu, Sarawak, katanya.

Artikel Sebelum

Warga Emas Digilis Kereta Api

Artikel Lain