suria

Anwar Gagal Panggil Semula Bekas Pegawai Penyiasat

Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Wan Azizah Wan Ismail hadir bagi mendengar kes rayuan pertuduhan liwat melibatkannya dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman pada Rabu. Foto: BERNAMA
Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Wan Azizah Wan Ismail hadir bagi mendengar kes rayuan pertuduhan liwat melibatkannya dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman pada Rabu. Foto: BERNAMA

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat Supt Judy Blacious Pereira memberi keterangan dalam kes liwatnya berhubung isu kredibiliti (Pereira).

Hakim Datuk Aziah Ali, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan itu selepas memutuskan Anwar gagal memenuhi syarat Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 berhubung keterangan tambahan.

Aziah berkata Anwar gagal menyatakan dengan jelas untuk mengenal pasti keterangan yang dimintanya untuk memanggil semula Pereira.

Beliau berkata kredibiliti Pereira dicabar oleh pasukan pendakwaan semasa perbicaraan kes liwat.

Seksyen 61 akta itu menyatakan bahawa pihak yang ingin mengemukakan keterangan tambahan mesti membuktikan bahawa keterangan yang tidak diperoleh semasa perbicaraan utama, perlu relevan dan mempunyai kaitan dalam rayuan.

Bagaimanapun, Aziah membenarkan prosiding ditangguhkan sementara menunggu rayuan atas permohonan peguam utama Anwar, Karpal Singh.

Sebaik mendengar penghujahan kedua belah pihak mengenai usaha itu, Aziah berkata: "Kami bimbang dengan penangguhan berterusan (dalam mendengar kesesuaian merit rayuan)," kata Aziah.

"Kami sedar mahkamah perlu adil dan dilihat sebagai adil dan kami tidak mahu menyekat peluang Anwar jika ada sebarang hak untuk merayu," katanya ketika membenarkan permohonan itu.

Aziah kemudian menetapkan 28 Feb untuk pengurusan kes bagi rayuan itu.

Turut sama dalam panel itu ialah Hakim Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Karpal berkata beliau akan mengemukakan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Khamis disusuli dengan sijil kesegeraan untuk mahkamah tertinggi menetapkan tarikh awal untuk rayuan.

Sementara itu, pendakwa utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata beliau akan memohon dengan Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan tarikh awal memandangkan perkara itu terlalu lama dilengah-lengahkan.

Pada 4 Feb, Anwar berkata beliau ingin memanggil semula Pereira untuk menentukan sama ada keterangannya, dalam perbicaraan liwat yang utama di Mahkamah Tinggi boleh bertahan dengan penelitian dan boleh dipercayai berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang lain bulan lepas untuk menolak permohonan Pereira diterima sebagai peguam bela dan peguam cara.

Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar, 66, daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, semasa membebaskan Anwar, memutuskan bahawa terdapat penembusan zakar tetapi tidak disokong keterangan lain.

Beliau memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti berhubung integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Mohd Saiful kerana ia mungkin boleh terjejas sebelum dianalisis Jabatan Kimia.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Digilis Kereta Api

Artikel Lain