suria

Bilik Stor Pusat Beli-Belah Brem Mall Terbakar

KUALA LUMPUR: Sebuah bilik stor yang digunakan sebagai bilik berehat di Tingkat 12, pusat beli-belah Brem Mall di Kepong di sini terbakar malam Isnin.

Kebakaran bilik berkeluasan 20mX6m (70X20 kaki) di tingkat paling atas bangunan itu pada kira-kira 7 malam, menyebabkan kira-kira 500 pengunjung, termasuk penghuni asrama pekerja pusat beli-belah itu panik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Pegawai Bomba Tertinggi (PBT), Muhamad Puzi Ismail berkata pihak bomba mengambil masa satu jam mengawal api daripada merebak ke bahagian lain.

Sebanyak enam jentera dengan 35 pegawai dan anggota dari lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Jinjang, Hang Tuah, Taman Tun Dr Ismail, Sri Hartamas dan Sentul dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat pada 7.05 malam Isnin, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

"Sebaik berlaku kebakaran, penghuni asrama berkenaan telah lari keluar menyelamatkan diri...pihak pengurusan pusat beli-belah juga dengan segera mengarahkan pengunjung mengosongkan bangunan sebagai langkah keselamatan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak pengurusan mengosongkan keseluruhan tingkat 12 yang menempatkan asrama pekerja dan tingkat 11 yang merupakan pejabat bagi kerja-kerja pembersihan dan sebagainya.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan anggaran kerugian belum dapat ditaksirkan ketika ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain