suria

Umno Hormati Keputusan Taib Undur Diri Sebagai KM Sarawak - Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi.

KUCHING: Sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), Umno menghormati keputusan dibuat Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk mengundurkan diri sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti-parti komponen dalam BN sentiasa menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti-parti komponen.

"Umno sebagai salah sebuah anggota komponen BN menghormati setiap keputusan pemimpin dari parti komponen lain, dalam hal ini PBB yang dipimpin oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Ketua Menteri Sarawak.

"Sebarang keputusan yang dicapai melalui rundingan di dalam parti itu harus dihormati oleh Umno," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Rela ke-42 peringkat negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Isnin.

Turut hadir Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau yang juga menganggotai Dewan Tertinggi BN turut mengambil kira serta memahami keputusan dibuat untuk kepentingan kerajaan negeri Sarawak.

"Apa yang berlaku memperlihatkan kematangan politik Sarawak sendiri dan sebarang perubahan pucuk pimpinan tentunya mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri Sarawak sendiri," katanya.

Ahmad Zahid berkata, peralihan kuasa yang bakal dilakukan mengikut tradisi berdasarkan acuan politik Sarawak, justeru itu semua harus menghormati keputusan dibuat.

"BN sebagai organisasi yang memayungi 13 parti dalam organisasi itu harus terima hakikat bahawa Taib akan melakukan pengumuman secara rasmi.

"Ketua Menteri telah maklumkan beliau akan menghadap Yang diPertua Negeri Sarawak pada 15 Februari ini. Saya fikir apa yang dilakukan harus dianggap hak peribadi sebagai Ketua Menteri dan pemimpin sebuah parti komponen BN," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain