suria

Tiga Sahabat Mengaku Tidak bersalah Rompak Guna Senjata Api

BUTTERWORTH: Tiga sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan melakukan rompakan menggunakan senjata api di sebuah rumah di Jalan Tasek, Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan pada Januari lepas.

Ketiga-tiga tertuduh Wong Sin Ye, 29, yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang, Rajan a/l Pennerselvam, 28, dan Lee Wee Kuan, 30, dari Klang, Selangor dituduh bersama seorang lagi rakan yang masih bebas, melakukan kesalahan itu pada 12 Jan 2014 pukul 5.30 pagi di rumah bernombor 340, Jalan Tasek, Kampong Valdor, Sungai Bakap.

Dalam rompakan itu tertuduh telah menggunakan sepucuk pistol jenis Walter model PP COL.7.65 dengan cara yang mendatangkan ketakutan kematian atau cedera ke atas tujuh orang mangsa.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api dan Penalti Lebih Berat 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang enam sebatan.

Mahkamah mengarahkan tertuduh ditahan di Penjara Pulau Pinang kerana kes itu tidak boleh dijamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor, tertuduh pertama dan kedua (Wong dan Rajan) tidak diwakili peguam manakala tertuduh ketiga diwakili peguam Gobind Singh Deo.

Pendaftar Mahkamah Sesyen Ahmad Faiz Md Zaini menetapkan 7 April depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain