suria

MCA Perlu Segerakan Mesyuarat Agung Luar Biasa Untuk Sertai Kerajaan

KUALA LUMPUR: MCA perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) secepat mungkin untuk membuat keputusan mengenai pendiriannya tidak menerima apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, MCA tidak boleh menangguhkan lagi perkara itu kerana mesyuarat agung luar biasa adalah penting bagi membolehkan parti dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan mengenai langkah selanjutnya supaya masyarakat Cina mempunyai wakil dalam kerajaan.

"Secara peribadi, saya berpendapat, sudah tiba masanya kami mengkaji semula sama ada untuk menyertai kerajaan atau tidak berbuat demikian.

"Walaupun jika MCA memutuskan untuk tidak menyertai kerajaan, ia tidak boleh menafikan hak enam juta masyarakat Cina untuk mempunyai wakil dalam kerajaan," kata beliau kepada pemberita di Wisma MCA di sini Khamis.

Beliau berkata, kesediaan Najib menyimpan portfolio Menteri Pengangkutan untuk MCA membuktikan bahawa beliau mahu MCA menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

Pada perhimpunan agung parti 2011 dan 2012, MCA meluluskan resolusi tidak menerima apa-apa jawatan dalam Kabinet jika parti itu menunjukkan prestasi buruk pada pilihan raya umum 2013.

Pada pilihan raya umum ke-13, MCA memenangi cuma tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi negeri berbanding 15 kerusi parlimen dan 32 kerusi negeri pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun, pada mesyuarat agung luar biasa 20 Oktober tahun lepas, para perwakilan menolak usul untuk membatalkan keputusan itu.

Ong berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti minggu depan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa mesyuarat agung luar biasa boleh diadakan pada 23 Februari sempena perayaan ulang tahun ke-65 parti.

Menurut perlembagaan parti, mesyuarat agung luar biasa boleh dipanggil sama ada oleh presiden, atau mendapat sokongan dua pertiga anggota jawatankuasa pusat atau menerima sokongan dua pertiga anggota perwakilan pusat. - BERNAMA

Artikel Lain