suria

Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 Beroperasi Semula

KUALA LUMPUR: Loji Rawatan air (LRA) Cheras Batu 11 yang ditutup sejak 28 Januari lepas berikutan pencemaran ammonia, mula beroperasi semula pada Jumaat.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan di sini Jumaat berkata, loji milik Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga) itu mula beroperasi pukul 12.15 tengah hari setelah kandungan ammonia Sungai Langat di muka sauk air mentah loji rawatan itu menurun ke paras 0.90ppm (bahagian per juta).

"Dengan itu, bekalan air ke beberapa kawasan di Hulu Langat akan pulih secara berperingkat. Bagaimanapun beberapa kawasan di Kuala Langat yang menerima bekalan air dari LRA Bukit Tampoi akan terus mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan rendah kerana loji air itu masih tercemar," menurut kenyataan itu.

LRA Bukit Tampoi telah ditutup sejak 11 hari lepas berikutan pencemaran ammonia Sungai Langat dan pencemaran ammonia masih di paras yang tinggi iaitu 4.3 PPM.

Syabas akan terus menyediakan lori-lori tangki air ke kawasan yang mengalami gangguan di Kuala Langat dan membuat pemantauan berterusan terhadap situasi tersebut.

"Pengguna di kawasan yang tidak terlibat dengan gangguan bekalan air tersebut di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya disarankan agar terus menggunakan air secara berhemah dan mengelak pembaziran agar penjimatan penggunaan air itu boleh disalurkan kepada kawasan yang terlibat dengan gangguan," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Lain