suria

Peniaga Perlu Pamer Tanda Harga Dengan Jelas

KLANG: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor menggesa peniaga mempamerkan tanda harga barangan terutamanya barangan kawalan dengan jelas bagi mengelak dikenakan kompaun atau tindakan lebih tegas.

Ketua Penguatkuasa PPDNKK Selangor Othman Nawang berkata hasil pemantauan Ops Harga 2014 yang bermula 1 Jan lepas mendapati kebanyakan peniaga masih mempamerkan harga barangan di dalam satu senarai dan ia boleh mengelirukan pengguna.

Katanya, tanda harga perlu diletakkan dengan jelas pada setiap barangan mengikut jenis agar peniaga tidak sewenang-wenangnya menipu pembeli dengan tawaran harga tidak munasabah selain memudahkan pengguna membuat pilihan harga mengikut ketetapan yang dikeluarkan kerajaan.

"Pemantauan sejak Januari lepas mendapati masih ramai peniaga mempamerkan harga barangan secara senarai, bukan diletakkan pada setiap barangan malah ia tidak jelas serta boleh mengelirukan pengguna.

"Kami gesa peniaga pamerkan harga mengikut jenis barangan yang dijual terutamanya barangan kawalan dengan tanda harga merah jambu bagi mengelakkan mereka dikenakan kompaun maksimum RM5,000 atau denda RM10,000," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan mengejut di Pasar Besar Klang, Jalan Meru di sini Khamis.

Dalam tinjauan mengejut itu, sebanyak sembilan peniaga dikenakan kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972 menjadikan jumlah keseluruhan pelbagai kesalahan yang direkodkan sejak 1 Jan lepas adalah 179 kes dengan nilai rampasan RM10,000 dan kompaun RM16,750.

Katanya, antara kesalahan lazim peniaga adalah tidak meletakkan tanda harga pada barangan, meletakkan tanda harga putih pada barangan kawalan selain menggunakan alat penimbang yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan PPDNKK.

Othman berkata sehingga hari ini, pihaknya masih belum menerima aduan ada peniaga menjual barangan pada harga melambung tinggi dan menyarankan pengguna sentiasa menggunakan kuasa beli mereka dengan bijak. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain