suria

KLIA2 Akan Dibuka Ikut Jadual - Hishammuddin

Pemandangan dari atas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dirakamkan pada 7 Januari 2014. (Gambar kecil) Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi (kiri) pada sidang media menegaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tetap akan memulakan operasinya seperti dijadualkan pada 2 Mei ini di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, Rabu. -fotoBERNAMA
Pemandangan dari atas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dirakamkan pada 7 Januari 2014. (Gambar kecil) Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi (kiri) pada sidang media menegaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tetap akan memulakan operasinya seperti dijadualkan pada 2 Mei ini di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, Rabu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata tiada sebarang penangguhan untuk tarikh pembukaan KLIA2 dan menegaskan lapangan terbang itu akan tetap dibuka pada 2 Mei.

Kegagalan kontraktor usaha sama UEMC-Bina Puri mendapatkan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) tidak akan menangguhkan penyiapan projek ikonik klia2 itu, katanya.

Hishamuddin berkata kerajaan tidak akan melayan sebarang permintaan untuk penangguhan dan berkata lawatan-lawatan mengejut akan terus dilakukan dan memberi fokus kepada perkara yang memberi halangan untuk menetapi tarikh pembukaan KLIA2.

"Sekiranya ada pihak yang didapati menjadi penghalang kepada perancangan kita ini, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan," kata beliau pada sidang media Rabu.

Semasa ditanya sama ada KLIA2 bersedia untuk menjalankan ujian Kesediaan Operasi dan Pindahan Lapangan Terbang (ORAT) yang sepatutnya dimulakan tiga bulan sebelum tarikh pembukaan, Hishammuddin berkata ORAT boleh dijalankan sekarang.

"ORAT boleh dijalankan sekarang, ia tidak melibatkan CCC, malah ujian sistem bagasi telah dijalankan secara dalaman... daripada melihat kepada ORAT, sijil dan sebagainya, bagi saya yang lebih penting ialah pada 2 Mei, KLIA2 akan mula beroperasi," katanya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata mereka masih belum menerima CCC bagi bangunan terminal KLIA2 daripada syarikat usaha sama (JV) UEMC-Bina Puri, yang dijadualkan pada 31 Januari, 2014.

Sementara itu Timbalan Menterinya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata lapangan terbang tambang murah itu sudah hampir siap sepenuhnya namun hanya sistem perlindungan kebakaran yang memerlukan sedikit pengubahsuaian.

"Apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat membuat pemeriksaan, mereka meminta supaya dibuat beberapa pindaan, itu sahaja.. tetapi terminal berjalan lancar dengan ORAT sebagaimana yang dikatakan menteri, sekarang ini ORAT berjalan mulai awal bulan ini," katanya.

"CCC akan dikeluarkan selepas pembetulan kecil pada pintu rintangan api yang sedang dipasang, mereka hanya mahu menukar pintu itu sahaja, " katanya sambil menambah bahawa pemasangan pintu tersebut akan siap pada akhir bulan ini.

Beliau juga berkata, keretakan dalam paip pembetungan di luar terminal, dan bahagian-bahagian jalan dan perparitan tidak sesuai untuk penggunaan, tiada apa-apa kaitan dengan pematuhan untuk mendapatkan CCC.

"Kami akan memperbaikinya, tetapi ia tiada kaitan dengan ORAT kerana ORAT hanya melibatkan di terminal "katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain