suria

Kebakaran Muzium Lilin i-City Mungkin Khianat Dalaman - Polis

KUALA SELANGOR: Polis tidak menolak kemungkinan kebakaran di muzium lilin The Red Carpet di i-City, Shah Alam berpunca daripada perbuatan khianat melibatkan pihak dalaman.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata polis masih menyiasat motif kejadian daripada pelbagai sudut termasuk juga kemungkinan penglibatan pihak luar.

"Kita juga sedang menyiasat sama ada kebakaran itu berpunca dari persaingan perniagaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan kerja sempena Op Selamat di Kampung Asam Jawa di sini Rabu.

Kebakaran kira-kira pukul 2.30 pagi Rabu lepas itu yang memusnahkan sebahagian ruang pameran dan sebanyak 10 patung lilin dipercayai dilakukan tiga individu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam muzium berkenaan.

Timbalan Pengerusi I-Berhad, pemaju i-City, Datuk Eu Hong Chew dilaporkan berkata kerja-kerja mengganti dan membina semula 10 buah patung lilin yang musnah akibat kebakaran itu sedang giat dijalankan dan dijangka dapat dibuka semula untuk orang ramai dalam masa dua bulan lagi.

Dalam perkembangan lain, Abd Rahim berkata Op Selamat IV yang dilancarkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina bermula 24 Januari lepas sehingga hari ini menunjukkan penurunan dari segi kemalangan jalan raya di Selangor sebanyak lapan peratus dari tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain