suria

AMK Bidas Pemuda PAS Tolak Anwar Jadi MB

PETALING JAYA: Perbalahan antara sekutu pakatan pembangkang berhubung pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR)terus berpanjangan khususnya membabitkan kedudukan kerusi menteri besar.

Terbaharu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) membidas pendirian Pemuda PAS Pusat yang menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai menteri besar sekiranya menang pada pilihan raya kecil kawasan itu nanti.

Ketua AMK Johor, Khairil Adanan berkata sekutu Pakatan Rakyat termasuk PAS seharusnya menyokong pendekatan yang dilakukan PKR di Selangor.

"AMK Johor menyelar kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda PAS yang tidak bersetuju sekiranya Datuk Seri Anwar diangkat sebagai menteri besar Selangor sekiranya beliau menang. Kita tidak nampak sekiranya Datuk Seri Anwar diangkat ke jawatan itu akan memudaratkan rakyat Selangor itu sendiri.

"Kita tawarkan pemimpin bertaraf dunia untuk Selangor dan secara tidak langsung akan memantapkan lagi kerjasama dalam Pakatan Rakyat khususnya di Selangor," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian terbaharu Pemuda PAS Pusat yang dinyatakan ketuanya, Suhaizan Kaiat agar semua pihak menghentikan perbincangan mengenai jawatan menteri besar.

Katanya walaupun PAS menyokong keputusan PKR menamakan Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen sebagai calon di DUN Kajang, ia tidak bermakna parti itu menyokong pelantikan Anwar mengantikan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas Adun kawasan itu, Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan secara tiba-tiba pada 27 Januari lepas.

Keputusannya itu membolehkan Anwar diletakkan sebagai calon untuk kerusi tersebut.

Inilah julung-julung kalinya Anwar akan bertanding di sebuah kerusi dewan undangan negeri.

Beliau sebelum ini menjadi ahli parlimen Permatang Pauh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain