suria

Polis Tahan 18 Individu, Rampas Dadah Bernilai RM1.1 Juta

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 rakyat tempatan termasuk lima wanita dan enam warga asing ditahan polis dalam tiga serbuan di sini pada 21 dan 22 Januari lepas kerana dipercayai mengedar dadah dianggar bernilai RM1.1 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Wan Abdullah Ishak berkata dalam serbuan di sebuah rumah banglo mewah tiga tingkat di Lorong Teluk Panglima Garang, Seputeh di sini pada kira-kira 1 pagi, 21 Jan lepas, polis merampas 966 biji pil eramin 5, pil ecstacy 218 biji dan syabu seberat 4,738 gram yang dianggarkan bernilai RM748,040.

Polis turut menahan enam individu berusia antara 25 dan 30 tahun terdiri daripada dua lelaki Singapura, tiga lelaki Indonesia dan seorang wanita serta merampas wang tunai RM120,000 dan S$23,095 (RM60,047), katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Beliau berkata polis turut menyita kereta Mercedes Benz S350 dan Volvo yang menggunakan nombor pendaftaran Singapura selain kereta Honda Civic, Volvo S40 dan BMW 320i, yang kesemuanya bernilai hampir RM1 juta.

Menurutnya dua lelaki Singapura itu menggunakan kereta berkenaan untuk menyeludup masuk dadah ke Malaysia.

"Modus operandi mereka ialah mencari sebuah banglo mewah di atas bukit untuk menyukarkan pihak berkuasa mengesan lokasi dan kegiatan selain menjadikan banglo sebagai setor simpanan dadah sebelum dijual," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman enam hari bermula Ahad lepas hingga Jumaat ini.

Dalam serbuan kedua di sebuah kondominium di Taman Desa, di sini pada kira-kira 2 pagi pada 21 Jan lepas, polis menahan empat lelaki dan empat wanita tempatan serta seorang lelaki warga Singapura yang kesemuanya berumur antara 24 dan 61 tahun.

"Polis merampas 2,751 pil ecstacy dan ketamin seberat 1,224.5 gram yang dianggarkan RM149,040 serta wang tunai RM3,500 daripada mereka," katanya.

Menurutnya keempat-empat lelaki tempatan itu memiliki rekod jenayah lampau dan pernah disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Wan Abdullah berkata mereka dtahan reman tujuh hari sehingga semalam.

Dalam serbuan pada 22 Jan lepas pula, polis menahan tiga lelaki tempatan berumur antara 33 dan 35 tahun di hadapan Kelab Connaught, Taman Bukit Cheras, di sini kerana memiliki 5,000 biji pil ecstacy dianggarkan bernilai RM200,000.

"Suspek yang berumur 33 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 7(2) Akta Judi Rumah Terbuka 1953," katanya. Mereka direman selama enam hari sehingga semalam.

Beliau berkata ujian saringan air kencing ke atas kesemua 18 individu itu, sebanyak 11 orang disahkan positif dadah.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain