suria

Polis Tapah Lupus Mesin Judi Bernilai Hampir RM1 Juta

TAPAH: Polis Perak melupuskan sejumlah 956 mesin judi, disyaki mengandungi perisian perjudian dalam talian bernilai hampir RM1 juta, yang dirampas dalam tempoh tiga tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata pihaknya memperoleh kebenaran mahkamah untuk berbuat demikian.

"Kebanyakan mesin judi yang dirampas itu adalah dari kawasan Bidor, Ayer Kuning, Temoh dan Sungkai serta Tapah. Sebanyak 55 serbuan dilakukan dengan 58 tangkapan telah dibuat dalam tempoh tiga tahun tersebut," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun telahpun didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, katanya, masih ada pemilik premis perjudian yang degil dan tetap beroperasi meskipun diserbu beberapa kali selain menggunakan kamera litar tertutup bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Som Sak juga berkata pemilik berkenaan juga hanya membenarkan pelanggan tetap mereka memasuki premis perjudian terbabit.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat berkenaan manakala golongan ibu bapa perlu memantau pergerakan anak masing-masing bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan amalan berjudi.

"Ini kerana 80 peratus daripada amalan gejala sosial ini akan menyumbang perkara berkaitan perlakuan jenayah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Lelaki Nyaris Maut Ditembak

Artikel Berikut

Artikel Lain