suria

Ibu Bapa Lawat Wanita Rakyat Malaysia Yang Ditahan Di Singapura Hari Ini

SINGAPURA: Ibu bapa kepada seorang wanita rakyat Malaysia yang ditahan kerana didakwa merempuh halangan keselamatan di Kementerian Luar Isnin lalu, akan melawatnya di Institut Kesihatan Mental (IMH) tengah hari Sabtu.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Datuk Husni Zai Yaacob memberitahu Bernama bahawa pihak berkuasa membenarkan ibu bapa kepada wanita berumur 28 tahun itu berjumpa anak mereka.

Ibu bapa wanita itu berada di sini selepas dimaklumkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi bahawa suspek berkenaan, seorang guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, yang dilaporkan mempunyai sejarah sakit mental, berada dalam tahanan pihak berkuasa Singapura.

Pada 17 Januari, wanita yang berasal dari Kampung Baharu, Bukit Jenun di Pendang, Kedah, didakwa merempuh pagar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Woodlands di sini.

Beliau menghilangkan diri selama tiga hari tanpa dapat dikesan di republik itu, walaupun polis melancarkan gerakan menjejakinya sehinggalah pihak berkuasa terserempak dengannya di perkarangan kementerian.

Husni Zai berkata Pejabat Pesuruhjaya Tinggi akan terus menyediakan bantuan konsuler bagi memastikan hak dan kesejahteraannya dilindungi. - BERNAMA

Artikel Lain