suria

Pemandu Kren Maut Digilis Treler Di Jambatan P.Pinang

BUTTERWORTH: Seorang pemandu kren maut digilis sebuah lori treler selepas terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya dalam kemalangan di Kilometer 4.5 Jambatan Pulau Pinang, di sini, Khamis.

Dalam kejadian pukul 8.45 pagi itu, Radzuan Idris, 31, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di bahagian pulau sebelum terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Supt Baharom Abu berkata mangsa yang berasal dari Sik, Kedah itu cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal rosak yang diletakkan oleh seorang pengguna jalan raya di lorong motosikal.

"Ketika cuba mengelak daripada melanggar motosikal itu, mangsa yang menunggang bersendirian terjatuh dari motosikalnya dan tercampak di lorong kiri.

"Dalam masa yang sama sebuah treler yang melalui laluan kiri itu tidak sempat mengelak dan menggilis mangsa menyebabkan cedera parah," katanya ketika dihubungi di sini Khamis.

Baharom berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah dan pendarahan teruk meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Sementara itu, kemalangan berkenaan telah menyebabkan ratusan pengguna jalan raya yang menghala ke bahagian pulau terperangkap dalam kesesakan teruk iaitu kira-kira lima kilometer. - BERNAMA

Artikel Lain