suria

Optimumkan ILKA Lahirkan Lebih Banyak Tenaga Mahir - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) melancarkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) melancarkan "World Skills Malaysia" dan Projek "Road To World Skill Competition Sao Paulo 2015" sempena majlis penyampaian Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di Serdang, Kuala Lumpur, Khamis. Turut hadir, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem (dua, kiri) dan timbalannya, Datuk Ismail Abd Mutallib (kiri) serta Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof (tiga, kanan). -fotoBERNAMA

SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mengoptimumkan penggunaan 434 buah Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) di seluruh negara bagi mencapai sasaran 33 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2015 dan 50 peratus menjelang 2020.

Beliau berkata peratusan pekerja mahir negara masih rendah iaitu 28 peratus pada tahun lepas, jika dibandingkan dengan negara-negara berpendapatan tinggi yang lain, justeru pelbagai insiaitf perlu ditingkatkan.

"ILKA di seluruh negara mempunyai kapasiti latihan hampir 200,000 orang pelatih pada satu-satu masa.

"Cuba kita bayangkan, jika kapasiti 434 buah, ILKA boleh sampai ke tahap optimum, kita tidak perlu membina institut dan bangunan baharu, sebaliknya kita boleh mengoptimumkan aset-aset yang sedia dalam sistem perkhidmatan awam," katanya pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2013 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini Khamis.

Hadir sama ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.

Najib berkata kini terdapat 753 buah Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) yang ditauliahkan Jabatan Pembangunan Kemahiran dan menawarkan program latihan serta kemahiran di seluruh negara.

"Saya percaya ILKA dan ILKS memainkan peranan signifikan dalam membantu kerajaan melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri dan mempunyai pakej lengkap untuk bersaing di dalam dan luar negara.

"Justeru, program-program yang ditawarkan juga perlu bersesuaian dan seiring dengan perkembangan semasa bagi menjamin kebolehpasaran graduan yang dilahirkan," katanya.

Perdana menteri mengingkatkan ILKA dan ILKS agar bekerjasama secara holistik dalamn meningkatkan kualiti latihan kemahiran agar kemudahan dan kepakaran dapat digunapakai secara optimum.

Beliau turut menyarankan para pelatih di institut kemahiran agar meneruskan pengajian yang diiktiraf peringkat antarabangsa bagi melonjakkan nilai di pasaran pekerjaan.

Menyedari keperluan tenaga kerja mahir, Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM200 juta dalam Bajet 2014 untuk menaik taraf dan melaksanakan pendekatan dua syif di Institut Kemahiran Belia Negara dan RM178 juta bagi menaik taraf dan menyelenggara bangunan serta peralatan di Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia seiring dengan teknologi terkini.

Selain itu, beliau berkata Pembangunan Sumber Manusia Berhad juga menyediakan peruntukan RM400 juta bagi syarikat berdaftar untuk memberi peluang kepada pekerja mengikuti program peningkatan kemahiran dan latihan semula.

"Sebanyak RM330 juta diperuntukkan sebagai dana kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi tujuan pinjaman kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia mengikut kurus latihan kemahiran," katanya.

Najib berkata kerajaan telah mewujudkan satu inisiatif di bawah Program SkillsMalaysia Invite bertujuan untuk membawa masuk pelajar antarabangsa menjalani latihan kemahiran di negara ini dan sehingga kini sebanyak 2,119 pelajar antarabangsa telah mengikuti program itu.

Sementara itu, Najib menyifatkan pertandingan kemahiran sebagai agenda penting dalam mengarusperdanakan latihan kemahiran dan platform untuk mencungkil bakat, kreativiti serta inovasi dalam kalangan pelatih dan tenaga pengajar yang kompeten.

Perdana menteri berkata penganjuran pertandingan kemahiran harus diperluas dan diteruskan agar dapat menyokong pembangunan tenaga mahir negara yang kompetitif dan berdaya saing.

"Profil pertandingan kemahiran di Malaysia perlu dinaik taraf agar agenda ini dapat diperkasakan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Saya menggesa agar lebih banyak syarikat swasta memberikan sokongan padu melalui penajaan pertandingan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada pemenang dan peserta pertandingan kemahiran terutama di peringkat antarabangsa," katanya.

Najib menaruh harapan agar para wakil negara yang bakal bertanding dalam Asean Skills Competition di Hanoi, Vietnam pada tahun ini dan World Skills Competition di Sao Paolo pada 2015 akan membawa pulang kejayaan untuk negara dan sekaligus membuktikan tahap kemahiran Malaysia berkelas dunia.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan insentif tambahan sebanyak RM10,000 bagi pemenang Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri bagi kategori MySkills dan Pertandingan Kemahiran Malaysia 2014. - BERNAMA

Artikel Lain