suria

Kesemua 12 Bilik Bedah Hospital Sungai Buloh Kembali Beroperasi

KUALA LUMPUR: Kesemua 12 bilik bedah am (OT) di Hospital Sungai Buloh kembali beroperasi selepas unit bateri bekalan Kuasa Tanpa Had (UPS) mudah alih, diganti.

Pengarah hospital berkenaan Dr Khalid Ibrahim memberitahu Bernama bahawa unit itu diganti pada Isnin dan ujian penggunaannya selesai dijalankan pada hari berikutnya.

"Unit UPS yang membekalkan kuasa untuk penyaman udara di OT terbabit telah diganti mengikut masa yang ditetapkan dan kami berpuas hati dengan unit pengganti itu," kata beliau.

Menurut laporan, awal bulan ini 12 OT am hospital itu yang sudah berusia sembilan bulan, ditutup berikutan kebakaran yang menyebabkan berlaku litar pintas mengakibatkan sistem penyaman udaranya tidak berfungsi.

Bagaimanapun, operasi pembedahan tidak terjejas kerana hospital ini memindahkan operasinya ke enam bilik bedah harian, tiga daripadanya berfungsi sepanjang masa, manakala selebihnya berfungsi 12 jam sehari.

Mengenai isu kebersihan dan sampah yang tidak diambil daripada lima hospital di Selangor, termasuk Hospital Sungai Buloh, Dr Khalid berkata masalah itu selesai dalam tempoh beberapa hari apabila kontraktor utama menggunakan khidmat sebuah syarikat untuk menjalankan tugas berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain