suria

Kerajaan Pusat Janjikan Bantuan Kepada Mangsa Tragedi Bot Terbalik

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Seri Shahidan Kassim membonceng motosikal sambil beramah mesra dengan penduduk kampung Tekajong ketika melawat keluarga mangsa-mangsa tragedi bot karam di Sungai Lasso di Mukah, Khamis. - fotoBERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Seri Shahidan Kassim membonceng motosikal sambil beramah mesra dengan penduduk kampung Tekajong ketika melawat keluarga mangsa-mangsa tragedi bot karam di Sungai Lasso di Mukah, Khamis. - fotoBERNAMA

DARO (Sarawak): Kerajaan persekutuan pada Khamis menjanjikan bantuan RM3,000 kepada keluarga setiap mangsa yang terkorban dalam tragedi bot terbalik di Daro pada Sabtu lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau akan berbincang dengan kerajaan negeri tentang bantuan yang akan diberi kepada mangsa yang terselamat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat bilik operasi mencari dan menyelamat di Kampung Tekajong di sini Khamis.

Operasi itu, yang memasuki hari keenam, diteruskan untuk mencari Mahdani Akim, 55, mangsa terakhir yang hilang.

Sepuluh orang lemas dalam tragedi itu, yang berlaku kira-kira 1 tengah hari apabila bot panjang yang membawa 27 penduduk dari Kampung Tekajong terbalik di Batang Lassa dekat Kampung Kut selepas dipukul ombak besar.

Penduduk kampung terbabit, kebanyakannya berusia lingkungan 55 hingga 68 tahun, dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saai.

Enam belas daripada mereka berjaya berenang menyelamatkan diri atau diselamatkan oleh penduduk kampung lain tetapi 11 hilang dan 10 daripadanya ditemui lemas.

Shahidan memberi jaminan kepada penduduk kampung terbabit bahawa kerajaan tidak akan mengabaikan mereka.

Beliau turut menyerahkan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa yang terkorban selain kepada mangsa yang terselamat. - BERNAMA

Artikel Lain