suria

Pelekat Kereta Seragam Bagi OKU Akan Diperkenalkan - Rohani

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperkenal pelekat kereta seragam untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) khususnya di kawasan bandar.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pada peringkat ini, perbincangan masih diadakan dengan pihak berkenaan termasuk pihak berkuasa tempatan dan dijangkakan selesai selewat-lewatnya April ini.

"Majlis Mesyuarat Kebangsaan OKU telah menyuarakan permohonan pelekat kereta seragam ini, selain mahukan papan tanda meletak kenderaan OKU yang jelas supaya orang bukan OKU tidak menyalah guna kemudahan itu.

"Dalam hal ini, saya minta orang ramai beri pertimbangan. Kalau kita mahu mentaliti rakyat negara maju, maka kita mestilah ada kesedaran seperti itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Sensori TNB-MAB di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields di sini, Selasa.

Beliau berkata taman sensori itu memberi OKU peluang untuk mengenali tanaman menggunakan deria rasa, bau dan bunyi-bunyian yang dihasilkan angin.

"Ia juga dilengkapi tulisan Braille agar mereka dapat mengenali jenis tanaman yang ada," kata Rohani.

Taman sensori itu, yang mulanya dibangunkan sukarelawan pada 2005 tetapi ditunda kerana kekurangan dana, mendapat tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi kutipan derma bagi meneruskan pembangunannya bermula pada 2010.

Taman itu dibina mengikut spesifikasi OKU penglihatan dan merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini. Ia dibangunkan di kawasan seluas 92.9 meter persegi dengan kos RM115,000.

Antara tanaman yang ada di taman itu ialah melur, daun pandan, limau nipis dan ciku serta pancuran air yang memberi landskap menarik kepada pengunjung.

Sementara itu, Nor Ashifah Mohd Pilus, 21, amat menyukai taman itu kerana ia dapat memberi ketenangan kepadanya melalui pancuran air dan bau-bauan yang pelbagai pada tanaman di taman itu.

Thavasothy Pillai, 61, pula berpendapat taman sensori itu unik dan amat berguna buat OKU cacat penglihatan belajar membezakan jenis tanaman melalui tulisan Braille yang disediakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain