suria

Esscom Gagalkan Cubaan Seludup Minyak Bersubsidi Di Semporna

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar minyak bersubsidi di perairan Sibangkat, Semporna, Khamis.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Mentek berkata anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah pengawasan Esscom yang bertugas di kawasan itu menahan sebuah bot pada 11.45 malam sarat dengan muatan 13 gelen minyak petrol dan 13 tong gas berisi (Petronas 14 kg).

Beliau berkata selain minyak petrol dan tong gas, anggota PGA merampas bot yang digunakan bagi menyeludup barangan berkenaan.

"Anggota PGA itu juga menahan dua lelaki, dipercayai pendatang tanpa izin, yang menaiki bot berkenaan. Semasa pemeriksaan, mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

"Barangan bersubsidi dalam bot itu dipercayai hendak diseludup ke negara jiran," katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Mohammad juga berkata barang rampasan serta suspek yang masing-masing berumur 18 dan 55 tahun itu dihantar ke balai polis Semporna untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain